Keadaan kawasan yang banjir dan anggota bomba membantu mangsa banjir. FOTO ihsan bomba
Keadaan kawasan yang banjir dan anggota bomba membantu mangsa banjir. FOTO ihsan bomba
Oleh Balkis Jazimah Dahari

Ipoh: Seramai 185 orang daripada 33 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan banjir di sini berikutan hujan lebat lebih empat jam sehingga menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan malam tadi.

Pusat pemindahan berkenaan adalah Pusat Pemindahan Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Terap dan Dewan Padang Changkat di Batu Gajah, Dewan Komuniti Taman Bersatu Simpang Pulai, Dewan Hock Kwan Buntong serta Dewan Orang Ramai Kampung Tasek, di sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Yahya Madis berkata, bagaimanapun dua daripada pusat pemindahan di Batu Gajah ditutup pada 8 pagi tadi selepas keadaan di kawasan terbabit pulih.

"Paras air disekitar kawasan yang terjejas banjir di Simpang Pulai, adalah kira-kira 0.6 meter setengah. Begitupun, paras air lambat surut dan bertakung disebabkan aliran keluar air terhalang.

"Pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan membuka aliran untuk mengeluarkan air di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 1:15 PM