ANTARA kawasan di Baling yang dilanda bah. FOTO APM
ANTARA kawasan di Baling yang dilanda bah. FOTO APM
Safuri Kamarudin.


Baling: Seramai 102 mangsa daripada 29 keluarga dipindahkan ke empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas banjir melanda beberapa kawasan di daerah ini sejak malam tadi.

Hujan lebat sejak petang semalam, menyebabkan banjir di Pulai, Siong dan Baling/Bongor mulai 8 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pari membabitkan 26 mangsa, SK Siong (21), SK Titi Gantung (9) dan Dewan Orang Ramai Banggol Derum (46).

"Antara kawasan terjejas di Mukim Siong adalah Kampung Batu 8, Sri Ketengga,Tanjung Pari, Batu 60, Bukit Sebelah, Kuala Kedua, Chenerai dan Siput.

"Bagi Mukim Bongor/Baling kawasan terjejas adalah Kampung Banggol Derum, manakala bagi Mukim Pulai adalah di Kampung Sungai Limau dan Charok Sikin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rasidah berkata, semua mangsa diarah berpindah sejak malam tadi sehingga 6.30 pagi tadi dan anggota APM dikerah melakukan pemantauan di kawasan banjir dan memantau paras air Sungai Ketil.

Manakala di Mukim Kupang, 56 keluarga daripada sembilan kampung tidak berpindah selepas keadaan banjir dilihat pulih, 8 pagi tadi.

Sementara itu, penduduk, Haris Che Mai, 67, dari Kampung Haji Abas berkata, ini kejadian banjir paling teruk kerana berlaku dalam waktu singkat.

"Rumah saya dilanda banjir Selasa lalu, dan malam tadi air masuk sekali lagi. Dalam tempoh sebulan sudah empat kali rumah dimasuki air," katanya.

Beliau berkata, selain terlalu letih membersihkan rumah, ramai penduduk juga mengalami kerugian kerana banyak perkakas rosak tidak sempat diselamatkan.

"Kami tidak ada pilihan lain, untuk berpindah dan membeli rumah di kawasan yang tinggi dan selamat memang tidak mampu kerana kami hanya berkerja kampung dengan pendapatan tidak tetap.

"Setiap kali hujan lebat, kami mula bimbang dan berdebar kerana bimbang berlaku banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 11:42 AM