LUCERO
LUCERO
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Walaupun penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Juan Lucero meledak dua gol untuk memastikan kemenangan 2-1 ke atas Perak, namun pemain kelahiran Argentina itu mengaku masih belum puas dan ingin terus memberi sumbangan kepada Harimau Selatan.

Bekas pemain kelab Liga Primera Argentina Atletico Independiente itu mengaku, Perak pasukan yang sukar ditewaskan dengan barisan pemain muda skuad itu sentiasa mengikatnya.

“Perlawanan itu agak sukar dan kami terpaksa bekerja keras bagi memastikan kemenangan dan saya amat gembira kerana menyumbang dua gol.

“Pada aksi pertama, pergerakan saya dan Jorge Diaz sering disekat pertahanan lawan yang menjadikan kami bagaikan serba tidak menjadi sehingga jurulatih Mario Gomez mengubah taktikal permainan pada babak kedua.

“Perubahan taktikal itu membolehkan saya berada di posisi terbaik untuk menjaringkan gol, namun ditarik pertahanan lawan bernombor 26 (Thiago Junior) sehingga terjatuh dan apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti, saya yakin menyempurnakannya untuk gol pertama,” katanya.

Lucero juga menganggap kerjasama antara rakan sepasukan memberi ruang kepadanya menghasilkan gol kedua yang membawa kemenangan buat Johor DT untuk kembali berada di tangga teratas Liga Super.

Malah, dia yang sudah meledak enam gol hasil jaringan sepanjang saingan Liga Super dan Piala AFC optimis Johor DT mampu melakar lebih banyak kejayaan.

“Saya tidak boleh selesa dengan enam gol setakat ini kerana perlu bekerja lebih keras bagi membentuk gandingan mantap bersama Diaz kerana saingan liga masih panjang.

“Kini saya sudah serasi dengan keadaan cuaca di sini berbanding pertama kali beraksi dan ia memberi lebih keyakinan,” kata Lucero.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 7:50 AM