SEBAHAGIAN daripada pendatang yang tiba di Pulau Lesbos, Greece, semalam selepas menyeberang laut Aegean dari Turki.
SEBAHAGIAN daripada pendatang yang tiba di Pulau Lesbos, Greece, semalam selepas menyeberang laut Aegean dari Turki.

Athens: Empat pendatang mati lemas dan enam lagi hilang di luar pantai Pulau Farmakonisi, Greece, selepas bot yang mereka naiki karam.

Pengawal pantai Greece berkata, mereka berjaya menyelamatkan empat penumpang bot itu.

Bot berkenaan dikatakan berlepas dari pantai di Turki. Kelmarin, 11 orang termasuk enam kanak-kanak mati lemas selepas terperangkap dalam kabin bot mereka yang karam di pesisir pantai Pulau Samos, juga di Greece.

Kematian akibat lemas dalam kalangan ribuan pendatang yang menyeberang laut dari Turki untuk ke pulau di timur Greece bagi mencari kehidupan baru di Eropah meningkat sejak beberapa minggu lalu, kesan daripada cuaca buruk.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, lebih 218,000 pelarian dan pendatang menyeberang Laut Mediterranean untuk ke Eropah sepanjang bulan lalu.

Ia adalah jumlah tertinggi dalam tempoh sebulan dan lebih ramai berbanding jumlah yang berbuat demikian sepanjang tahun lalu.

Jumlah itu juga meningkatkan angka pendatang yang menyeberang laut itu kepada lebih 744,000 tahun ini dengan 94 peratus daripada mereka datang dari 10 negara ‘pengeluar pelarian’ utama. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 6:47 AM