RATU Jazz  beraksi sebagai pari-pari bersama tujuh lagu sebagai runut bunyi.
RATU Jazz beraksi sebagai pari-pari bersama tujuh lagu sebagai runut bunyi.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Lebih dikenali sebagai penyanyi tetapi dalam lakonan, Datuk Sheila Majid juga berjaya menambat penonton melalui lakonannya sebagai Tipah dalam filem Ali Setan.

Agak lama juga Ratu Jazz Malaysia itu tidak tampil di layar perak begitu juga dengan lagu baru. Bagaimanapun, kini Sheila bakal kembali dengan lagu baru sekali gus di layar perak melalui filem Sinaran.

Lagu Sinaran Cinta dihasilkan khas untuk lagu tema filem Sinaran yang bakal ditayangkan di pawagam pada 26 November ini.

Ia juga diperkenalkan kepada umum apabila Sheila menyanyikannya ketika konsert akhir Akademi Fantasia 2015, baru-baru ini.

Sheila ketika ditemui di sesi fotografi baru-baru ini mengatakan, pembabitannya dalam filem itu bermula daripada peminat setianya, Kevin Chin, anak kelahiran Melaka tetapi kini bekerja tetap di Singapura.

Katanya, Kevin datang bertemu dengannya dan menyatakan hasratnya mahu menghasilkan filem Sinaran yang menampilkan tujuh lagu yang pernah didendangkannya sebagai runut bunyi.

“Bukan itu saja, tujuh lagu itu diberi gubahan baru manakala Sinaran Cinta sebagai lagu tema. Sewaktu dia mula-mula bertemu dengan saya dan cara dia menerang­kan projek khas ini, saya seperti tidak percaya sebab ia terlalu besar.

“Namun, melihatkan kesungguhannya membuat­kan saya yakin dengan apa yang mahu dilakukan. Sebaik saya mendengar lagu Sinaran Cinta, membuatkan saya rasa ia satu karya sangat bagus dan bersetuju mendendangkannya,” katanya.

Sheila sangat terharu melihat kesungguhan peminat setianya itu menghasilkan lagu dan filem sekali gus menghargai 30 tahun pembabitannya dalam industri seni.

Atas sebab itu juga katanya, dia bersetuju untuk terbabit dengan projek khas filem Sinaran dan berharap pembabitannya secara tidak langsung menerusi filem diterbitkan produksi Singapura dan diarahkan Osman Ali itu dapat mengubat rindu peminat setianya.

Kata Sheila, kesungguhan ditunjukkan Kevin juga membuatkan dia mahu bersama-sama turun padang mempromosikan lagu Sinaran Cinta dan filem Sinaran.

“Bayangkan banyak cabaran yang terpaksa dilaluinya sepanjang menghasilkan filem Sinaran. Projek ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dan menampilkan pelakon tiga negara iaitu Lisa Surihani, Evan Sanders dan aggota kumpulan Sleeq, Syafiq.

“Masalah dan cabaran timbul disebabkan Kevin orang baru dan tidak pernah terbabit dengan kerja penerbitan filem.

“Begitupun, Kevin tidak putus asa. Dia lalui juga segala kepayahan setiap kali timbul masalah. Ternyata pengorbanannya membuahkan hasil apabila filem dan lagu Sinaran Cinta siap bersama dengan klip videonya. Semua itu dilakukan Kevin sendiri dan produksi dilantik dalam tempoh dua tahun ini,” katanya.

Berhadapan dengan pelbagai halangan dan dugaan tidak bermakna Kevin meminggirkan soal kualiti. Malah Sheila sendiri berpuas hati dengan klip video dihasilkan khas untuk lagu Sinaran Cinta. Segalanya diatur dengan baik sehinggalah semuanya siap serentak dan tarikh tayangan diperoleh.

“Mungkin berkat kesabaran, akhirnya apabila tarikh tayangan filem Sinaran diperoleh, lagu dan klip video Sinaran Cinta pula diedarkan dan diperdengarkan kepada peminat dalam waktu yang sama.

“Seperti semuanya telah diatur dan berjalan de­ngan lancar. Saya bersyukur dan gembira untuk Kevin atas segala pengorbanannya yang mahu menghasilkan karya memberi penghormatan kepada saya.

“Saya harap peminat dapat menerima dan memberi sokongan akan usaha yang dilakukan Kevin,” katanya.

Mengenai pembabitannya sebagai pelakon dalam filem Sinaran, Sheila akui masih berpegang dengan prinsip tidak akan berlakon dalam erti kata benar-benar beraksi dalam filem selepas penampilannya dalam filem Ali Setan.

Berbeza dengan Sinaran, kata Sheila dia hanya membuat kemunculan khas untuk beberapa minit sebagai pari-pari dan ia dilakukan kerana jalan cerita filem itu memerlukannya.

Filem Sinaran berkonsepkan romantik muzikal mengisahkan pelajar baru kolej bernama Shila yang belajar mengenai cabaran dalam menjalani kehidupan dan perhubungan cinta.

Shila (Lisa Suiani) dipaksa rakannya, Tina (Izara Aishah) untuk menyertai kelas tarian di kolejnya tetapi kecewa apabila Andre (Evan Sanders) mahu Shila menjadi pemimpin dalam persembahan mereka.

Shila dengan berat hati bersetuju dan mereka akhirnya mula jatuh cinta. Sejak itu Andre tidak mempedulikan kawan baiknya, Dafi yang mempunyai masalah dengan Ah Long.

Tina dan Dafi bersepakat mengambil alih pasukan persembahan dan menang pertandingan. Tina semakin popular dan persahabatan dengan Shila semakin pudar. Cinta dan persahabatan menjadi pertaruhan manakala pertandi­ngan akhir tarian pula semakin hampir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 5:03 AM