DITAWAR watak pembunuh upahan dalam Pharmacide tanpa perlu lalui sesi uji bakat.
DITAWAR watak pembunuh upahan dalam Pharmacide tanpa perlu lalui sesi uji bakat.
Oleh Amirul Haswendy Ashari


Kalau sebut nama Azliyuszaini Mohd Noor atau Yuzz, 42, mungkin tidak ramai yang kenal tapi sebut nama Jemang, salah satu watak dalam filem box-office, Polis Evo, tentu ramai yang tahu.

Malah timbul rasa benci de­ngannya dek watak Jemang dalam filem arahan Ghaz Abu Bakar dan turut dibintangi Shaheizy Sam dan Zizan Razak.

Penangan Polis Evo yang mencatat kutipan lebih RM15 juta selepas 28 hari tayangan, turut terkena pada Yuzz apabila namanya kini jadi sebutan. Watak dijayakannya berjaya mencuri perhatian melalui beberapa babak aksi dalam filem itu.

Paling tidak dapat dilupakan tentunya ketika Jemang berdiri di atas kereta polis dalam babak tembak-menembak di depan premis hospital menggunakan senjata AK47. Boleh dikatakan babak itu bagai salah satu kuasa tarikan kepada peminat filem untuk menonton Polis Evo.

Hadir untuk sesi fotografi bersama Selebriti Metro Ahad baru-baru ini, Yuzz akui sebelum kejayaan Polis Evo dia tidak pernah teroka untuk memperkenalkan diri kepada media. Baginya, biarlah orang kenal dia melalui bakat.

“Sebenarnya, saya sudah lama dalam industri. Saya hampir 15 tahun aktif dalam teater, lagak ngeri, iklan dan pengacara majlis.

“Dalam lakonan, saya lebih banyak diberi watak antagonis sehingga pernah diludah dan ditampar masyarakat luar,” katanya.

Kata Yuzz, antara momen paling diingat selepas iklan Burung Murai yang diterbitkan Petronas untuk iklan hari raya kira-kira sedekad lalu.

“Kerana watak dalam iklan itu (sebagai anak derhaka) saya pernah diludah dan dipanggil anak tidak kenang budi oleh masyarakat.

“Insiden itu agak meninggalkan kesan kepada saya sebagai pelakon lalu mengambil keputusan untuk tidak terlalu menonjol­kan diri pada khalayak ramai.

“Kalau keluar rumah pun, saya akan pastikan pakai topi atau tutup kepala dengan ‘hud’ baju, serta mengenakan cermin mata gelap.

“Waktu itu, saya tidak tahu bagaimana untuk menangani situasi berdepan dengan masyarakat yang agak ‘taasub’ dengan watak itu,” katanya.

Pelakon kelahiran Muar, Johor ini akui pernah dikejar parang atas sebab sama ketika berada di kawasan kampung. Kini dia berhadapan perkara sama kerana watak Jemang.

Selepas Polis Evo dia memikirkan sudah tiba masanya untuk berani keluar untuk memperkenalkan dirinya kepada media dan masyarakat.

Malah katanya, beberapa produksi dalam dan luar negara juga mula mengintai dirinya. Antara yang boleh dibanggakan apabila mendapat tawaran membintangi filem Hollywood, Pharmacide memegang watak pembunuh upahan.

“Hanya saya dan Datuk Rahim Razali, pelakon tempatan yang terus ditawarkan untuk berlakon dalam filem itu. Beberapa pelakon lain perlu melalui sesi uji bakat.

“Ketika hadir ke sesi bertemu dengan pengarah uji bakat, saya hanya tunjukkan trailer filem Polis Evo dan pihak mereka terus berminat dengan saya,” katanya bersyukur.

Filem yang dijangka menjalani penggambaran penghujung tahun ini adalah produksi luar negara kedua buat Yuzz selepas kali pertama untuk filem Indonesia bergandingan bersama Alex Komang beberapa tahun lalu.

Katanya, soal watak utama atau sampingan tidak penting, asalkan dia boleh pelbagaikan pengalaman bekerja dengan produksi dalam serta luar negara.

“Lebih penting ialah watak yang diberikan berjaya sampai serta memberi kesan kepada masyarakat seperti yang berlaku melalui lakonan saya dalam iklan Burung Murai dan filem Polis Evo,” katanya.

Bapa kepada dua anak gadis, Batrisya, 19, dan Nurul Hikmah, 10, akui antara kekuatan untuk dia ke depan ialah keluarganya sendiri.

Katanya, selain watak Jemang, Polis Evo juga meninggalkan kesan hebat dalam dirinya apabila diduga dengan pemergian ibu tercinta pada Oktober tahun lalu ketika menjalani penggambaran filem itu.

“Ketika itu saya tetap kuatkan semangat menghabiskan penggambaran. Ibu saya banyak menyokong pembabitan saya dalam industri. Tipu kalau tidak sedih apabila ibu tercinta meninggal dunia tapi saya kena kuatkan diri.

“Perasaan sedih kehilangan orang tersayang, saya lepaskan melalui lakonan. Mungkin sebab itulah watak Jemang berjaya memberi kesan kepada penonton,” katanya tenang.

Selain Polis Evo, Yuzz juga pernah beraksi dalam filem Hanyut, Hantu Kapcai, Tanda Putera dan Apa Celop Toq. Terbaru, dalam super telefilem Penyamun Kota arahan Shuhaimi Zulkifli untuk Astro Maya, Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 5:02 AM