PELAKON, Shaheizy Sam. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
PELAKON, Shaheizy Sam. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Najiy Jefri


LEBIH 15 bulan ‘menyerah diri’ untuk menjayakan sekuel filem Polis Evo 2 yang kini mencetus fenomena luar biasa di panggung wayang, pelakon serba boleh Shaheizy Sam tidak menyangka dengan penerimaan awal daripada penonton.

Siapa sangka, segala penat lelah dan usaha yang diberikan berbaloi apabila filem berkenaan mencatat kutipan sebanyak RM3.5 juta pada hari pertama tayangannya.

“Saya rasa terkejut dan gembira dengan kutipan yang amat memberangsangkan ini. Saya berharap filem ini bukan saja ditonton masyarakat Melayu sebaliknya semua kaum kerana ia adalah karya yang boleh dibanggakan Malaysia,” katanya.

Menurut Sam, sepanjang lebih dua dekad mewarnai industri filem tempatan, Polis Evo 2 adalah karya pertama lakonannya yang menjalani penggambaran dan sesi latihan selama lebih setahun.

“Polis Evo bukan naskhah yang main-main. Ia dibuat dengan begitu teliti dan semua pihak bergabung tenaga untuk memberikan hasil yang terbaik.

“Saya tidak pernah jayakan filem yang mengambil masa lebih 15 bulan termasuk sesi latihan sebelum penggambaran.

“Banyak tawaran yang terpaksa ditolak kerana biasanya untuk sesebuah filem ia hanya memakan masa selama sebulan atau dua bulan saja.

“Namun, atas rasa kepercayaan dan usaha keras yang diberikan semua pihak, saya ketepikan soal tawaran yang datang asalkan filem ini berjaya memukau penonton,” katanya.

Bercerita mengenai barisan pelakon Polis Evo 2 yang menampilkan pelakon Indonesia, Raline Shah dan Zizan Razak serta beberapa pelakon handalan lain, Sam berkata, dia kagum dengan setiap pelakon yang mengisi watak dalam filem itu.

“Saya suka berlakon filem ini kerana ia bukan fokus kepada filem tempatan semata-mata, tetapi jika kita nak bawanya ke luar negara, ini adalah landasan serta platform yang betul.

“Ini kerana pihak produksi begitu mengambil berat mengenai setiap pelakon termasuk watak tambahan yang menjayakan filem ini. Rata-ratanya hebat dan bukan calang-calang,” katanya.

JAGA PEMAKANAN

Mengulas mengenai cabaran ketika berada di set penggambaran di Kuantan, Pahang, Sam berkata, dia sebenarnya terseksa untuk membina otot bagi menjayakan watak Inspektor Khai.

“Pengarah mahu saya mempunyai badan atlet, tetapi bukan ahli bina badan. Jadi, banyak perkara saya perlu korbankan dan banyak yang tidak boleh dimakan.

“Bukan mudah untuk menjaga pemakanan dan otot. Malah, saya terpaksa dimasukkan ke hospital disebabkan kekurangan air dalam badan.

“Kecederaan ketika menjalani penggambaran juga perkara biasa. Ini bukan kerja satu atau dua hari, sebaliknya memerlukan pengorbanan tinggi. Luka, lebam dan keluar masuk hospital itu sudah menjadi perkara biasa,” katanya.

SEMAKIN MEMILIH

Berbicara mengenai perancangan masa depan dalam bidang lakonan, Sam mengaku dia kini semakin memilih terhadap sebarang tawaran berlakon.

Katanya, dia sudah tidak boleh seperti awal kemunculannya dulu, sebaliknya perlu memilih karya yang berkualiti walaupun ia filem berbajet rendah.

“Saya tak kisah tunggu lama untuk mendapatkan skrip yang terbaik. Banyak filem yang berjaya mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan skripnya.

“Jadi saya sudah tidak boleh macam dulu, saya perlu mempunyai perniagaan untuk meneruskan kehidupan dan menunggu tawaran yang benar-benar berkualiti.

“Bagi saya, kalau ada skrip yang baik dan tenaga produksi yang hebat walaupun bajet tidak besar, saya puas hati untuk lakukannya kerana sudah ada sumber kewangan lain,” katanya.

Menurut Sam, pernah satu tahap dia hampir bosan melihat dirinya di layar lebar serta siaran ulangan di televisyen.

“Saya juga selalu fikir pasti masyarakat juga bosan melihat saya membuatkan perlu menyembunyikan diri. Jadi, saya akan keluar semula dengan filem ada impak,” katanya.

TAK SABAR TIMANG ANAK KEDUA

Bakal menimang cahaya mata kedua April tahun depan membuatkan Sam tidak sabar untuk menantikan saat bahagia itu.

Kata Sam, naluri hatinya kuat mengatakan jantina anak keduanya ini adalah perempuan.

“Setakat ini kami belum membuat pemeriksaan jantina tapi hati kuat mengatakan anak kedua ini perempuan.

“Sejak bergelar bapa, saya rasa perubahan yang mendadak dalam hidup saya. Banyak perkara dilakukan adalah untuk mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 6:00 AM