FESTIVAL LAMPU 2018 sekali lagi bakal mewarnai kemeriahan suasana malam di Dataran Putrajaya Presint 3.
FESTIVAL LAMPU 2018 sekali lagi bakal mewarnai kemeriahan suasana malam di Dataran Putrajaya Presint 3.
Noor Atiqah Sulaiman


PUTRAJAYA: Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, bakal dilimpahi cahaya sepanjang satu kilometer sempena penganjuran Lights and Motion Putrajaya (LAMPU) yang bermula malam semalam hingga ambang tahun baru.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Aminuddin Hassim, berkata pihaknya berbesar hati kerana buat julung kalinya, penganjuran LAMPU akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kehadiran Perdana Menteri sekali gus akan bersama dengan orang ramai bagi meraikan sambutan Tahun Baharu 2019.

“Penganjuran LAMPU ini disekalikan dengan sambutan tahun baharu dan pelbagai acara diadakan yang sesuai dengan semua peringkat umur.

“Antaranya Projeksi Pemetaan Cahaya Mega, pertandingan e-Games, wayang kulit, wayang pacak, Street of Hologram dan kemuncak penganjuran iaitu pada ambang tahun baharu kita adakan persembahan bunga api secara langsung dan digital.

“Kita menganggarkan lebih sejuta pengunjung akan menghadiri festival yang diadakan selama empat hari itu,” katanya kepada media semasa majlis pratonton di sini, kelmarin.

Aminuddin turut menasihatkan pengunjung untuk hadir ke festival berkenaan menggunakan pengangkutan awam yang disediakan supaya dapat mengurangkan kesesakan di tapak festival.

“Seperti tahun sebelum ini, sokongan diberikan pengunjung amat menggalakkan. Disebabkan itu, kita menyediakan perkhidmatan bas percuma yang akan mengambil pengunjung dari kawasan letak kenderaan untuk ke tapak festival.

“Antara kawasan letak kenderaan berkenaan ialah Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan Putrajaya Sentral,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 10:47 AM