Sebahagian remaja menghidu gam yang ditahan. FOTO Nabihah Kamal
Sebahagian remaja menghidu gam yang ditahan. FOTO Nabihah Kamal
Oleh Nabihah Kamal


Ampang: " Saya sanggup bekerja sebagai ‘ulat tiket’ untuk beli dua tin gam sehari," kata remaja lelaki ketagih menghidu gam berusia 16 tahun yang ditahan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Ampang dalam operasi Ops Gegar Siri 7, di sini, semalam.

Dalam operasi bermula 11 malam hingga 2 pagi itu, 10 remaja lelaki dan tiga remaja perempuan berusia 13 hingga 19 tahun ditahan ketika khayal selepas menghidu gam di taman permainan Pandan Indah.

Menurut remaja yang tidak bersekolah itu, dia menjual tiket secara haram di Pudu Sentral untuk mendapatkan wang demi memenuhi ketagihannya.

"Saya mula menghisap gam sejak awal tahun ini dan turut berhenti sekolah kerana mahu bekerja dan mendapatkan wang membeli gam.

"Memang ibu bapa saya marah, tetapi jika sehari saya tidak dapat menghidu gam saya menjadi tidak keruan,"katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Ampang Hasnina Ibrahim berkata, remaja yang ditahan itu menghidu gam secara berkumpulan di taman permainan pada waktu malam.

"Dua daripada yang ditahan turut mengaku mengambil dadah jenis ganja.

"Turut ditahan dalam operasi ini, seorang lelaki warga emas berusia 62 tahun yang positif dadah jenis syabu," katanya.

Susulan itu, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Ampang untuk sesi kaunseling dan tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 11:06 PM