Dua beradik lemas selepas mandi di pantai Tanjung Lobang, petang tadi. FOTO ihsan bomba
Dua beradik lemas selepas mandi di pantai Tanjung Lobang, petang tadi. FOTO ihsan bomba
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

Miri: Dua beradik masing-masing berusia lima dan enam tahun ditemui lemas selepas mandi di pantai Tanjung Lobang di sini, petang tadi.

Mayat Suhaid Abdullah dan kakaknya, Nuraini,ditemui pengawal keselamatan pantai di persisiran pantai pada 5.05 petang tadi.

Ketua Bomba Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kehilangan mangsa pada 4.56 petang.

Menurutnya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa ditemui terbaring di pantai oleh pengawal keselamatan pantai. Pasukan paramedik yang dipanggil mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Kes diserah kepada polis dan mayat mangsa dihantar ke rumah mayat Hospital Miri untuk tindakan lanjut," katanya.

Law berkata, difahamkan mangsa tinggal di gerai kosong berhampiran pantai bersama ibu dan tiga adik beradik lain.

Katanya, sudah menjadi rutin, dua beradik itu mandi di pantai tanpa pengawasan ibu mereka.

"Ibu mangsa menyedari dua anaknya lemas apabila hanya seorang anak pulang ke gerai.

"Mangsa dipercayai terhantuk pada batu apabila dilambung ombak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 8:03 PM