MAYAT yang ditemui di Pantai Tanjong Lobang. FOTO Ihsan APM
MAYAT yang ditemui di Pantai Tanjong Lobang. FOTO Ihsan APM
Mohd Rizal Abdullah


ORANG awam digemparkan dengan penemuan tiga mayat lelaki di tiga lokasi berasingan di sekitar Miri dalam tempoh 24 jam, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, mayat pertama tanpa identiti ditemui di celahan batu di Pantai Tanjong Lobang, pada 4.30 petang.

Beliau berkata, mayat kedua, lelaki berusia 30 tahun ditemui dua jam kemudian di Piasau, semalam.

“Mayat ketiga, lelaki berusia 77 tahun ditemui di tepi longkang berhampiran taman Perumahan Hilltop, pada jam 10 pagi hari ini,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Beliau berkata, pengesahan identiti mayat pertama akan dilakukan saudara mangsa pada jam 2 petang ini.

Mengulas lanjut, katanya, mayat kedua ditemui di kawasan semak dengan kereta Proton Saga mangsa ditemui di tepi jalan.

“Siasatan awal mendapati kematian lelaki terbabit dipercayai akibat masalah kesihatan.

"Lelaki terbabit dilaporkan mempunyai masalah angin ahmar dan dilaporkan hilang pada hari sama dia ditemui," katanya.

Katanya, mayat ketiga iaitu lelaki berusia 77 ditemui di tepi longkang selepas dilaporkan hilang pada Jumaat lalu.

“Lelaki terbabit dilaporkan mempunyai masalah Parkinson dan operasi mencarinya sudah dilakukan sejak dia dilaporkan hilang," katanya.

Lim berkata, setakat ini, tiada unsur jenayah bagi ketiga-tiga mayat yang ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

"Ketiga-tiga mayat sudah dibawa ke Hopital Miri untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 2:09 PM