Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Enam tahun akan datang adalah tempoh kritikal bagi Malaysia untuk mencapai sara diri dalam pengeluaran beras berikutan risiko negara pengeksport mengurang atau menghentikan eksport makanan ruji untuk melindungi permintaan domestik masing-masing.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia akan menjadi satu perkara yang serius jika negara pengeksport menghentikan eksport beras ke negara ini.

"Jadi, pesawah perlu betul-betul memahami keperluan untuk meningkatkan hasil padi negara dalam beberapa tahun akan datang.

"Kementerian perlu mengambil tindakan segera untuk menambah baik input pertanian padi dan infrastruktur sedia ada dalam sektor perladangan padi dan mengamalkan amalan petani Sekincan ke negeri lain.

"Kerajaan juga bercadang untuk memperuntukkan RM3 bilion bagi menambah baik infrastruktur di bawah Mada (Automiti Kemajuan Pertanian Muda) bagi memperluaskan lima musim penanaman dalam setiap dua tahun," katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan tunai kepada pesawah Kedah di PPK Tajar di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Mada Datuk Dr Ismail Salleh dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Datuk Mahfuz Omar.

MOHAMAD (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Sentuhan Agro Madani dan Penyampaian Bantuan Wang Ihsan dan Bantuan Khas kepada Pesawah MADA di PPK Tajar hari ini. FOTO Syaharim Abidin
MOHAMAD (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Sentuhan Agro Madani dan Penyampaian Bantuan Wang Ihsan dan Bantuan Khas kepada Pesawah MADA di PPK Tajar hari ini. FOTO Syaharim Abidin

Mohamad mengulas laporan baru-baru ini bahawa kerajaan India sudah mengarahkan supaya pengeksportan beras dihentikan.

Mohamad berkata, projek perintis lima penanaman padi dalam tempoh dua tahun sudah dilaksanakan di 213 hektar sawah padi di bawah Mada manakala pertanian ala Sekinchan sudah diperkenalkan di 187 hektar sawah padi di Sik, Kerpan, Simpang empat di Perlis dan di Besut, Terengganu.

Beliau berkata, pihaknya berharap petani lain akan menyertai projek itu selepas melihat kisah kejayaan petani yang menyertai projek perintis.

"MADA akan membabitkan diri dengan petani untuk mendidik dan memotivasikan mereka untuk mengamalkan teknik pertanian moden.

"Saya percaya jika kita mampu meningkatkan hasil padi tahunan dalam tempoh empat hingga enam tahun akan datang, kita akan dapat mencapai 80 peratus pengeluaran untuk memenuhi permintaan dalam negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 7:51 PM