GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2024 yang diperuntukkan kepada peladang, penternak dan nelayan yang diyakini mampu memperkasa dan mendepani cabaran isu-isu semasa melibatkan sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

NAFAS dalam kenyataan berkata, secara keseluruhannya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diperuntukkan sebanyak RM6.17 bilion iaitu peningkatan sebanyak 14.4 peratus berbanding RM5.39 pada tahun 2023.

Peningkatan itu, katanya, membuktikan kerajaan prihatin untuk menjamin kelangsungan industri agromakanan negara serta menjaga kebajikan hampir satu juta ahli peladang seluruh negara.

"Seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan pada Jumaat lalu, pelarasan semula harga belian padi daripada RM1,200 kepada RM1,300 per metrik tan secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan pendapatan hampir 240,000 pesawah seluruh negara. Kali terakhir pelarasan harga dibuat adalah pada 2014.

"Walaupun menuntut dengan harga yang lebih tinggi, pesawah sedikit sebanyak boleh menarik nafas lega dengan tambahan kenaikan RM500 bagi Skim Subsidi Harga Padi yang telah diberikan oleh kerajaan dalam sektor padi.

"Penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun yang diumumkan bagi kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Perlis dan Kedah untuk meningkatkan pengeluaran padi dengan pelaburan bernilai RM3 bilion, NAFAS juga secara tidak langsung akan terlibat dalam menjayakan usaha meningkatkan hasil padi negara," katanya.

NAFAS berkata, selaku pembuat dan pembekal bagi keperluan baja negara melalui skim subsidi kerajaan bersedia memberi komitmen penuh kepada petani serta MADA bagi menjayakan inisiatif bersama kementerian bagi mencapai sasaran kadar Tahap Sara Diri (SSR) beras negara sebanyak 80 peratus pada 2030.

Beliau berkata, inisiatif peningkatan peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma daripada RM40 juta kepada RM50 juta dalam usaha meluaskan kawasan penanaman padi bukit daripada 43,000 hektar dapat membantu meringankan kos penanaman padi oleh pesawah di Sabah dan Sarawak.

"NAFAS juga menyambut baik peruntukan RM50 juta yang diumumkan untuk membekalkan 50,000 pesawah dengan baja bio dan organik bagi meningkatkan kesuburan tanah juga akan memberi peluang kepada pesawah untuk meningkatkan hasil tanaman.

"Peruntukan RM50 juta di bawah Tabung Bencana Pertanian bagi memberi pampasan kepada petani, penternak dan nelayan yang terkesan akibat bencana; dan RM50 juta turut disediakan sebagai dana permulaan di bawah Skim Takaful Tanaman Padi bagi memberi perlindungan kepada pesawah yang terkesan akibat bencana membuktikan kerajaan cakna dengan keperluan golongan tersebut.

"NAFAS yakin inisiatif Belanjawan 2024 yang dibentangkan adalah menyeluruh dalam memastikan golongan sasar mendapat manfaat bagi meningkatkan taraf hidup ahli peladang dan secara tidak langsung memperkukuh keterjaminan makanan negara," kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 6:50 PM