Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Seremban: Keadaan murid prasekolah yang dipercayai dicampak seorang murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari tingkat dua bangunan Sekolah Kebangsaaan (SK) Taman Tasik Jaya, Senawang, petang kelmarin, dilaporkan stabil.

Bapanya Faizul Khairy Zulkifli, 38, berkata, anaknya tidak mengalami komplikasi serius akibat kecederaan dialami dan selesai menjalani pemeriksaan pengimbasan tomografi berkomputer (CT scan) dan imbasan magnetik resonan (MRI) pagi tadi di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS).

Katanya, beliau sekeluarga bersyukur dengan perkembangan itu yang dimaklumkan oleh doktor yang merawat Adam Zikri.

"Doktor beritahu setakat ini mereka tidak mengesan komplikasi serius akibat impak ketika dia jatuh. Anak saya mengalami patah tangan kiri dan kaki kanan selain cedera di kepala," katanya di sini, hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan mangsa dikatakan dicampak oleh seorang murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari tingkat dua bangunan sekolah itu jam 1.30 tengah hari semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 12:37 PM