GURU BESAR Sekolah Kebangsaan Buit Hill Penampang, Awang Lai (kanan) menyambut ketibaan murid bagi memulakan sesi persekolahan secara bersemuka bermula hari ini. FOTO Bernama
GURU BESAR Sekolah Kebangsaan Buit Hill Penampang, Awang Lai (kanan) menyambut ketibaan murid bagi memulakan sesi persekolahan secara bersemuka bermula hari ini. FOTO Bernama
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Seramai 539,172 orang murid dan pelajar di Sabah kembali ke sekolah, hari ini.

Jumlah terbabit merangkumi murid dan pelajar sekolah awam serta swasta.

Ini susulan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini mengatakan pengoperasian institusi pendidikan Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah bermula pada 22 November.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Dr Mistrine Radin ketika dihubungi semalam berkata, jumlah keseluruhan pelajar bagi kategori sekolah rendah dan menengah awam yang mula bersekolah adalah 528,234 orang.

"Seramai 27,924 murid pra-sekolah akan kembali ke sekolah manakala bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) pula membabitkan seramai 3,105 murid.

"Bagi murid tahun satu adalah seramai 47,391 orang, tahun dua (48,227); tahun tiga (49,683); tahun empat (48,340); tahun lima (47,164) dan tahun enam (46,494)," katanya.

Dalam pada itu, Mistrine berkata, kategori sekolah menengah awam membabitkan 209,906 pelajar.

"Seramai 40,951 pelajar tingkatan satu akan mula bersekolah esok diikuti pelajar tingkatan dua (38,264); tingkatan tiga (37,204); tingkatan empat (35,107); tingkatan lima (34,033); tingkatan enam atas (7,333); dan tingkatan enam bawah (8,739) manakala jumlah pelajar PPKI pula membabitkan 3,415 orang.

"Bagi pelajar kolej vokasional, 4,647 pelajar yang terlibat manakala sekolah sukan Malaysia Sabah pula 213 orang," katanya.

Mengulas lanjut mengenai jumlah murid dan pelajar sekolah swasta di Sabah yang berdaftar dengan KPM, Mistrine berkata, 10,938 murid dan pelajar sekolah rendah (termasuk PPKI), sekolah menengah serta sekolah antarabangsa yang mula bersekolah hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 11:21 AM