KETUA jurulatih skuad hokit negara, Sarjit Singh. FOTO ARKIB NSTP
KETUA jurulatih skuad hokit negara, Sarjit Singh. FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh menyeru rakyat Malaysia untuk memberi masa dan ruang kepada Speedy Tigers berwajah baharu untuk berkembang menjadi pasukan yang kuat menjelang edisi ke-30 Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah di Ipoh , Perak, mulai Sabtu ini hingga 11 Mei.

Beliau berharap peminat tidak menaruh harapan tinggi terhadap pasukan terutama apabila pasukan ranking ke-13 dunia itu akan menggalas cabaran sebagai juara bertahan selepas memenangi Piala Sultan Azlan Shah untuk kali pertama pada 2022, sejak ia dimulakan pada 1983.

"Orang ramai tidak seharusnya menilai Speedy Tigers. Kami sedang membangunkan pasukan ini. Bersabarlah. Biarkan pasukan berkembang (dan bertambah baik) secara berperingkat.

"Aksi persahabatan dengan New Zealand semalam adalah perlawanan berkualiti tinggi...kami pasukan baharu serta belum sempat melakukan program kecergasan kerana kekangan masa.

"Bayangkan jika kami melakukan program itu dan pasti pasukan akan beraksi dengan lebih baik. Berikan ruang untuk memperbaiki," kata jurulatih itu yang dilantik awal Mac lalu dalam kenyataan, hari ini.

Malaysia menunjukkan sekilas apa yang mereka mampu lakukan dalam kejohanan berprestij itu apabila menewaskan pasukan ranking ke-10 dunia New Zealand 3-2 di Ipoh.

Sarjit berkata, beliau kagum dengan persembahan 'luar biasa' lima pemain - gandingan adik beradik Saari iaitu Faizal dan Fitri, pemain tengah Marhan Jalil, penjaga gol Muhammad Hafizuddin Othman (semuanya veteran) dan penjaga gol baharu Che Shahrul Azmi - dalam perlawanan persahabatan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, 18 pemain yang akan disenarai pendek untuk Piala Sultan Azlan Shah akan sedar bahawa persaingan akan menjadi lebih sukar, tetapi mesejnya lantang dan jelas - mereka mesti bermain dengan sepenuh hati.

"Kami sedang mencari pemain yang komited dan bekerja keras. Tidak dinafikan kita mempunyai ramai daripada mereka.

"Sasaran kami - Sukan Asia 2026 - tinggal 30 bulan lagi. Fokus jangka panjang kami adalah untuk menyediakan pasukan ini ke Asiad.

"Kita bukan sahaja bercakap mengenai 18 pemain yang dipilih untuk Piala Sultan Azlan Shah. Mereka hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan skuad yang terdiri daripada 30 pemain.

"Dalam setiap kejohanan, kami akan menukar pemain dan semua pemain akan mendapat peluang untuk bermain dalam seberapa banyak perlawanan untuk mendapatkan pendedahan dan pengalaman," kata Sarjit.

Menurutnya, ini hanyalah fasa pertama menguji 18 pemain yang disenarai pendek, manakala empat atau lima lagi pemain akan beraksi dalam dua kejohanan akan datang.

Selepas Piala Sultan Azlan yang menjadi ujian pertama Sarjit, Speedy Tigers akan menyertai kejohanan Piala Negara-Negara di Poland dari 30 Mei hingga 1 Jun dan Trofi Juara-Juara Asia dari 8 hingga 17 September di Inner Monggolia, China.

Malaysia akan memulakan kempen Piala Sultan Azlan Shah dengan menentang juara tiga kali, Pakistan Sabtu ini sebelum menentang Kanada pada Ahad, juara dua kali New Zealand (7 Mei), Jepun (8 Mei) dan juara tiga kali Korea Selatan pada 10 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 8:31 PM