STERLING idam ledak jaringan bertemu Sevilla.
STERLING idam ledak jaringan bertemu Sevilla.

London: Selepas meledak hatrik ke atas Bournemouth, penyerang Manchester City Raheem Sterling mula memasang impian lebih tinggi bermula dengan aksi Liga Juara-Juara menentang juara bertahan Liga Europa Sevilla, pagi esok.

Sterling membantu City menang 5-1 ke atas Bournemouth, Sabtu lalu dan ia adalah persembahan terbaiknya sejak menyertai kelab itu dari Liverpool.

Dengan Wilfried Bony turut menjaringkan dua gol, skuad kendalian Manuel Pellegrini itu seolah-olah tidak begitu terasa ketiadaan Sergio Aguero dan David Silva tetapi menjelang aksi getir menentang Sevilla dan Manchester United, Sterling sedar laluan City tidak semudah disangka.

“Itu adalah aksi terbaik saya bersama City setakat ini. Saya mempunyai peluang dan saya menyudahkan dengan baik. Saya sangat gembira,” kata penyerang England itu.

“Pergerakan di bahagian depan serta hantaran dari tengah semakin menjadi sejak beberapa perlawanan lalu dan kami berjaya beraksi dengan sempurna.

“Begitupun, kami perlu melupakan seketika perlawanan itu dan menumpukan perhatian kepada Sevilla (awal pagi Khamis) serta Man United hujung minggu ini. Tetapi tumpuan kami ketika ini ialah untuk Sevilla.”
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 7:54 AM