AFP

Manchester, England: Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini percaya Raheem Sterling mampu berubah kepada lebih prolifik bersama majikan barunya berbanding ketika bersama Liverpool.

Sterling meledak hatrik pertamanya sepanjang karier selaku pemain senior apabila membantu City menewaskan Bournemouth 5-1 kelmarin sekali gus kekal di tangga teratas Liga Perdana Inggeris dan Pellegrini pantas memuji penyerang England itu atas sumbangannya.

Beraksi selaku penyerang tengah bagi menampung ketiadaan Sergio Aguero, Sterling kini mengumpul lima gol bersama City dan Pellegrini yakin pemain itu akan mengatasi catatan 11 gol yang disumbangkan untuk Liverpool musim lalu.

“Saya rasa penting bagi Raheem untuk menjaringkan tiga gol,” kata pengendali Chile itu yang akan bertandang ke Manchester United untuk mengharungi pertembungan setempat minggu depan.

“Dia masih muda dan saya yakin dia akan terus meningkat pada masa depan. Saya tidak fikir aksinya serupa dengan Kun (Aguero) atau (Wilfried) Bony. Tapi dia perlu meningkatkan gerakan penyudah setiap kali menerima bola.

“Saya pernah mengingatkan dia supaya meningkatkan faktor itu pada hari pertama dia di sini. Saya yakin musim ini dia akan menjaringkan lebih banyak gol berbanding apa yang disumbangkannya kepada Liverpool musim lalu.”

Pellegrini mengeluarkan Sterling selepas beraksi hambar pada babak pertama ketika kemenangan 6-1 City ke atas Newcastle United dua minggu lalu tetapi berkata, pertukaran itu tidak sesekali menjejaskan semangat pemain berusia 20 tahun itu.

“Dia tidak hilang keyakinan selepas perlawanan menentang Newcastle kerana saya ada bercakap dengannya selepas saya mengeluarkannya,” kata Pellegrini. “Dia tidak bermain baik tapi semua orang boleh mengalami masalah sebegitu.

“Saya rasa perlawanan ini penting baginya dan juga pasukan untuk mengubah posisinya. Bila berhampiran Bony, dia boleh mencipta ruang lebih besar kerana Bony memberi sokongan padu kepadanya menerusi hantaran baik.

“Kami meletakkan Kevin De Bruyne dalam posisi asal Raheem dan perubahan itu bagus baginya kerana ia memberi peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 9:07 AM