Johannesburg: Ibu Reeva Steenkamp, June, menyelar pembebasan pembunuh anaknya, Oscar Pistorius seawal Ogos ini hanya kerana berkelakuan baik berikutan dianggap terlalu awal.

Atlet pelari pecut Paralimpik Afrika Selatan berusia 28 tahun itu didapati bersalah tahun lalu atas tuduhan membunuh teman wanitanya yang juga model dan penyampai televisyen tanpa niat pada Hari Kekasih (Valentine) 2013.

Pistorius mendakwa, dia menyangka Reeva penceroboh dan menembaknya empat kali menerusi pintu bilik air yang berkunci.

Dia kini menunggu keputusan pihak berkuasa penjara Afrika Selatan sama ada membebaskannya dengan pelepasan bersyarat yang dijangka sekitar Ogos.

Sekiranya Pistorius dibebaskan, ini bererti dia hanya menjalani hukuman penjara 10 bulan.

“Saya tidak fikir hukuman berkenaan cukup lama bagi seseorang yang menyebabkan kematian orang lain.

“Sudah pasti nilai nyawa Reeva berharga lebih daripada hanya 10 bulan penjara?

“Dia (Pistorius) mengambil sesuatu yang begitu berharga daripada kami. Kehidupannya sudah berakhir.

“Saya cuma boleh fikirkan bagaimana keadaan Reeva di dalam tandas dan tidak boleh bergerak untuk melepaskan dirinya.

“Dia menderita dan terseksa...Otak bersepai.

“Memang saya tak habis-habis mengalami mimpi ngeri mengenai kejadian itu,” kata June.

Reeva hanya berusia 29 tahun ketika Pistorius menembaknya mati.

Akibat tindakan berkenaan, Pistorius menjalani hukumannya di penjara Pretoria sejak Oktober lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 5:07 AM