PISTORIUS ketika dihadapkan ke mahkamah pada 2017 selepas didapati membunuh teman wanitanya - REUTERS
PISTORIUS ketika dihadapkan ke mahkamah pada 2017 selepas didapati membunuh teman wanitanya - REUTERS

Pretoria, Afrika Selatan: Bekas atlet paralimpik Afrika Selatan, Oscar Pistorius akan dibebaskan dari penjara pada Januari tahun depan apabila diberikan parol selepas sedekad dia menembak mati teman wanitanya, Reeva Steenkamp.

Menurut ibu Steenkamp iaitu June menerusi peguamnya memaklumkan keputusan terbabit sukar diterima memandangkan Pistorius tidak menunjukkan penyesalan terhadap perbuatan yang menggemparkan arena sukan dunia itu.

"Keputusan itu menghantar mesej jelas bahawa keganasan membabitkan jantina tidak boleh diterima," kata peguam June iaitu Tania Koen.

Sementara itu, jabatan perkhidmatan pemulihan memaklumkan bahawa lembaga parol terlebih dulu melakukan semakan sama ada bekas olimpian berusia 37 tahun itu boleh dilepaskan lebih awal dari penjara atau sebaliknya.

"Pistorius akan menghabiskan baki hukuman menerusi khidmat sosial komuniti dengan pengawasan pegawai parol," katanya.

Dalam pembunuhan yang mengejutkan dunia, Pistorius membunuh Reeva, ​​​​seorang model, pada Hari Valentine 2013 dengan menembaknya empat kali melalui pintu bilik mandi rumahnya di Pretoria.

Dikenali di seluruh dunia sebagai 'Blade Runner', Pistorius didapati bersalah atas tuduhan membunuh dan dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun pada 2017 selepas perbicaraan yang panjang dan beberapa rayuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 11:29 AM