London: Ibu Reeva Steenkamp, teman wanita Oscar Pistorius yang ditembak mati tahun lalu menegaskan dia tidak mahu membalas dendam terhadap atlet Afrika Selatan itu, sehari selepas dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun.

June Steenkamp berkata, dia menerima hukuman dijatuhkan mahkamah terhadap Pistorius kerana membunuh Reeva walaupun ini bermakna atlet digelar Blade Runner itu dipenjara selama 10 bulan saja sebelum menghabiskan baki tempoh itu di rumah sendiri.

“Kami tidak mahu membalas dendam. Kami hanya mahukan hukuman yang adil kerana dia seorang lelaki kurang upaya.

“Sejujurnya, kami juga tidak mahu dia dipenjarakan dan didera di situ. Cukuplah jika dia menginsafi perbuatannya dan menyedari dia tidak boleh sesuka hati membunuh orang,” katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga menerima keputusan itu walaupun ada yang tidak gembira. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:04 AM