FOTO Fariz Iswadi Ismail
FOTO Fariz Iswadi Ismail

Putrajaya: Lebih empat juta pelajar di seluruh negara boleh mendapatkan akses percuma perpustakaan video iTTV yang mengandungi 1,000 jam kandungan akademik mengikut silibus Kementerian Pendidikan, mulai hari ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata semua pelajar Tahun 4 hingga Tingkatan 5 boleh menggunakan akses percuma itu untuk proses pembelajaran tiga hingga enam bulan di Saluran iTTV YouTube.

Beliau berkata, langkah menawarkan akses percuma itu adalah untuk mengukur keberkesanan program berkenaan, yang dirangka khas oleh iTTV Education, dalam menyediakan pendidikan berteraskan teknologi yang sesuai untuk semua pelajar.

“Program ini juga dapat membantu pelajar yang sukar atau lambat untuk memahami sesuatu mata pelajaran sekali gus memberikan kesaksamaan pendidikan kepada semua pelajar,” katanya.

Mahdzir berkata demikian dalam ucapan pelancaran Kolaborasi Kementerian Pendidikan dan iTTV untuk menawarkan iTTV FreeSpaceLearning secara percuma kepada pelajar di Malaysia.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Wan Khazanah Ismail.

Mahdzir berkata iTTV Education juga telah memulakan projek e-Learning sejak 2009 dengan menghasilkan kira-kira 1,000 jam kandungan yang boleh digunakan semua pelajar sekolah rendah dan menengah.

Jelasnya, semua mata pelajaran sains seperti Biologi, Fizik, Kimia dan Sains telah lengkap tersedia untuk semua pelajar, manakala mata pelajaran teras seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains juga lengkap untuk pelajar Tahun 4 hingga Tingkatan 3.

“Kelebihan iTTV ialah penyampaian yang jelas kerana tenaga pengajarnya yang berkualiti, dan semua pelajar akan mendapat pelajaran yang sama daripada guru yang sama di mana-mana sahaja mereka berada.

“Ada ibu bapa mengadu di kawasan pedalaman misalnya wujud masalah kekurangan guru. Namun dengan adanya iTTV, semua pelajar akan mendapat pelajaran yang sama daripada guru yang sama di mana-mana sahaja mereka berada,” katanya.

Katanya, e-Learning akan menjadi komponen penting dalam kemajuan pendidikan negara memandangkan pelajar-pelajar di negara jiran seperti Korea, China, Singapura dan Australia sudahpun memanfaatkan daripada program e-learning secara menyeluruh.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif iTTV Education Sdn Bhd Datuk Abdul Aziz Abu Bakar berkata program itu ditawarkan di pasaran bermula pada 2012 dan ramai pelajar mula menunjukkan peningkatan prestasi mengikut testimoni yang diperoleh.

“Menerusi saluran iTTV di Youtube sehingga kini dua juta hits terkumpul sementara ramai pelajar telah meminta lebih banyak video dimuat naik secara percuma,” katanya.

Beliau berkata pelajar hanya perlu pilih ‘playlist’ yang ada dan pilih tahap yang sesuai menonton bahan akademik yang disediakan.

“Kolaborasi ini diharap dapat membantu pelajar untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan seterusnya merancakkan arena pendidikan negara dengan penggunaan teknologi,” katanya.

Pelanggan iTTV perlu membayar kira-kira RM200 hingga RM400 seorang setahun jika mereka mendaftar dengan talian iTTV, jelas beliau. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 10:02 PM