Syed Salleh (kiri) bertukar dokumen dengan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan Inovasi dan Pengkomersilan Universiti Teknologi Petronas, Prof Ir Dr Mohd Shahir Liew dan di saksikan oleh Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas, Profesor Ts Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, (dua dari kanan) dan Amrin Awaluddin di majlis menandatangani perjanjian E-Learning diantara Tabung Haji dan Universiti Teknologi Petronas, di Menara Tabung Haji. FOTOFATHIL ASRI.
Syed Salleh (kiri) bertukar dokumen dengan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan Inovasi dan Pengkomersilan Universiti Teknologi Petronas, Prof Ir Dr Mohd Shahir Liew dan di saksikan oleh Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas, Profesor Ts Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, (dua dari kanan) dan Amrin Awaluddin di majlis menandatangani perjanjian E-Learning diantara Tabung Haji dan Universiti Teknologi Petronas, di Menara Tabung Haji. FOTOFATHIL ASRI.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Universiti Teknologi Petronas (UTP) membangunkan projek e-Learning bertujuan membantu bakal jemaah haji mempelajari dan menambah ilmu ibadat haji dengan lebih efektif dan mudah, pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja secara dalam talian.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, program itu turut disediakan kepada guru agama yang berperanan sebagai Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dan petugas haji yang lain memperkukuhkan ilmu ibadat haji serta kemahiran mereka.

Katanya, mempunyai tiga fasa pembangunan, diharapkan ia dapat dibina dan dilaksanakan dengan baik seperti dirancang demi untuk kemudahan jemaah haji.

"Kerjasama dengan universiti tempatan yang menggandingkan kepakaran pihak universiti dengan pengalaman pengendalian haji TH di peringkat dunia ini diharap akan menghasilkan satu platform terbaik yang benar-benar dapat membantu bakal jemaah haji, PEKTA dan petugas haji mempelajari ilmu ibadat haji dan yang berkaitan dengan pengurusannya.

"Projek e-Learning Haji ini melibatkan peruntukan sebanyak RM2 juta dan merupakan kos tidak langsung yang ditanggung oleh TH selain kos-kos langsung termasuk Bantuan Kewangan Haji yang mencecah RM300 juta saban tahun," katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian E-Learning antara TH dan UTP hari ini.

Hadir sama Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Pengarah Eksekutif Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, sentiasa komited menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji negara pada setiap tahun.

"Kami berharap mereka bukan saja dapat menunaikan ibadat haji dengan selesa tetapi juga menjadi jemaah haji yang berilmu, sekaligus memperoleh haji yang mabrur dan pulang ke tanah air sebagai insan yang soleh dan musleh," katanya.

Sementara itu Syed Saleh berkata, pihaknya berharap program berkenaan akan digunakan seramai mungkin jemaah haji bagi memudahkan urusan ibadat mereka.

Katanya, fasa pertama program digitalisasi itu dijangka dapat digunakan pada musim haji Mei ini.

"Ia ada tiga fasa dan kita jangka fasa pertama iaitu menerusi web dapat digunakan jemaah haji untuk musim haji Mei ini,Insya-Allah," katanya.

Dalam pada itu Dr Mohamed Ibrahim berkata, UTP bergiat aktif dalam pelbagai inisiatif e-learning dengan menggabungkan pedagogi yang tepat dan teknologi yang bersesuaian serta kandungan pembelajaran mikro untuk memastikan pengalaman pembelajaran optimum kepada pengguna disasarkan.

"Melalui kerjasama di antara TH dan UTP ini, ia dapat merangsangkan lagi pembangunan produk atau perisian bagi memperkasakan aspek pengkomersialan teknologi selari dengan visi UTP untuk menjadi peneraju di dalam pendidikan teknologi dan pusat kecermerlangan kreativiti dan inovasi.

"Kami juga berhasrat menjadi rakan kongsi serta penyelesaian teknologi dan digital bagi industri menerusi kepakaran, pengalaman serta kemudahan penyelidikan terkini kami yang memenuhi keperluan dan standard industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 2:27 PM