Kuala Nerang: Tugas mengemas kini data dalam talian yang sebelum ini menjadi bebanan guru akan diselaras semula, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya, tugas berkenaan sering menjadi rungutan terutama guru yang kekurangan akses internet selain mengganggu masa di luar tempoh bertugas mereka.

"Kementerian buat masa ini sedang mengkaji semula keperluan dan kesesuaian tugasan itu dalam aspek tertentu sebelum menyelaraskannya supaya guru tidak lagi rasa terbeban dengan tugasan berkenaan," katanya pada sidang media selepas Program Khatan Perdana Peringkat Daerah Padang Terap di Hospital Kuala Nerang di sini, hari ini.

Mahdzir memberi contoh antara skop tugasan itu akan diselaraskan antara guru dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kemudiannya PPD akan berurusan dengan Jabatan Pendidikan sebelum ke peringkat kementerian.

Katanya ada kerja mengemas kini data yang perlu dilakukan setiap hari, mingguan, bulanan dan empat tahun sekali iaitu tugasan membabitkan peperiksaan sekolah.

"Dalam hal ini saya lebih suka supaya ia diselaraskan antara guru dengan PPD kemudian PPD dengan Jabatan, tidak perlu semua terus kepada Kementerian dan ini akan memudahkan tugasan guru,"

Terdahulu, Mahdzir merasmikan program khatan membabitkan 100 pelajar yang berusia antara 8 hingga 12 tahun. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 10:54 PM