PEMAIN Arsenal giat menjalani latihan bagi perlawanan timbal balik menentang Bayern.
PEMAIN Arsenal giat menjalani latihan bagi perlawanan timbal balik menentang Bayern.
Reuters

London: Arsenal perlu mempamerkan kebangkitan terhebat pada perlawanan timbal balik Liga Juara-Juara bagi mengelak penyingkiran ketujuh berturut-turut pada pusingan kedua apabila menanti kunjungan Bayern Munich, awal pagi esok.

Pengalaman dibelasah 1-5 di Bavaria membuatkan Gunners berdepan misi mustahil pada perlawanan kedua dan keyakinan mereka semakin malap selepas kekalahan 1-3 kepada Liverpool Sabtu lalu menyebabkan pasukan Arsene Wenger tersingkir daripada kelompok empat teratas.

Satu perkara mustahil dalam Liga Juara-Juara apabila tiada pasukan yang mampu bangkit pada perlawanan kedua berbekal defisit empat gol sebelum ini.

Untuk mara ke perlawanan berikutnya, Arsenal perlu mengatasi pencapaian kelab Sepanyol Deportivo La Coruna yang bangkit daripada kekalahan 1-4 kepada AC Milan di tempat lawan pada 2004 sebelum menang 4-0 di laman sendiri dan mara ke separuh akhir.

Kali terakhir sesebuah pasukan mengatasi defisit pada peringkat Eropah adalah Real Madrid pada Piala UEFA 1985-86 dengan menewaskan Borussia Moenchengladbach 4-0 di laman sendiri selepas menderita seperti juga Arsenal, tewas 1-5 di Jerman.

Segelintir peminat Arsenal akan bertandang ke Emirates dengan harapan dan berbanding memberikan kebangkitan terbesar, perlawanan itu akan memberikan satu lagi elemen drama terhadap era Wenger yang semakin berakhir.

Kekalahan besar di Munich selain kekalahan Liga Perdana Inggeris kepada Watford, Chelsea dan Liverpool dalam empat perlawanan terakhir Liga Perdana menyebabkan pemain setianya mula hilang sabar.

Keputusannya meletakkan Alexis Sanchez, penjaring terbanyak Liga Perdana di bangku simpanan ketika menentang Liverpool mengejutkan ramai.

“Saya benar-benar tidak faham alasan di sebalik tindakannya, mengapa Arsene Wenger tidak menurunkannya. Dia pemain terbaik mereka,” kata bekas pertahanan Martin Keown.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 10:03 AM