PASUKAN Kampung Binjai Tok Kapor muncul juara baru Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah.
PASUKAN Kampung Binjai Tok Kapor muncul juara baru Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah.
Oleh Faizul Azlan Razak

Chukai: Pasukan Kampung Binjai Tok Kapor, Kemaman mencipta sejarah apabila muncul juara baru Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah merebut Piala Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih di padang Kampung Dadong, di sini.

Kejayaan pasukan kendalian Mazlan Mamat terhasil selepas menumbangkan pasukan pilihan, Kampung Bukit Mentok menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 selepas terikat 1-1 dalam aksi sedikit panas.

Kemenangan muncul juara buat kali pertama sejak 2005 itu membolehkan pasukan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 beserta piala pusingan, pingat dan set jersi.

Kampung Bukit Mentok membawa pulang wang tunai RM2,500 dan pingat manakala tempat ketiga diraih Kampung Batu 14 yang meraih RM1,500 beserta medal dan keempat, Kampung Neram 100 menerima wang tunai RM1,000 dan pingat.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih Wan Mohd Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 6:43 AM