MOHD Saiful Nizam dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan merompak seorang lelaki dengan melarikan wang tunai serta Proton Exora. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MOHD Saiful Nizam dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan merompak seorang lelaki dengan melarikan wang tunai serta Proton Exora. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Buruh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, atas tuduhan merompak seorang lelaki dengan melarikan wang tunai serta sebuah Proton Exora.

Keputusan itu dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh, Mohd Saiful Nizam Zulkefli, 33, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama-sama seorang lagi melakukan rompakan berkumpulan terhadap Mohd Rosdi Yusof, 45, dengan melarikan wang tunai berjumlah RM3,000 dan sebuah Proton Exora.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu di Kampung Kubang Kekura, Jalan Wakaf Che Kapor, di sini, jam 6.45 pagi pada 31 Mac 2018.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan empat sebatan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 31 Disember 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, Mohd Saiful Nizam bersama rakannya yang sudah dikenakan hukuman atas pertuduhan sama membawa mangsa ke sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Mangsa dipaksa mengeluarkan wang sebelum tertuduh mengambil wang dan melarikan Proton Exora milik mangsa.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga pada jam 10.15 pagi hari yang sama untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 2:54 PM