BILIK hotel yang luas memberikan keselesaan kepada pengunjung.
BILIK hotel yang luas memberikan keselesaan kepada pengunjung.
Oleh Suliati Asri


Merendam kaki di kolam infiniti sambil menikmati kesegaran jus oren cukup mengasyikkan. Angin sepoi-sepoi bahasa menambahkan lagi kedamaian.

Keunikan reka bentuk moden dan penggunaan warna indah di setiap bilik serta ruang koridor bilik menjadikan penginapan di hotel ini ada kelainan tersendiri.

Terletak di Kawasan Perindustrian Sri Utara Off Jalan Kuching dan 15 minit memandu dari pusat bandar raya Kuala Lumpur, KIP Hotel menawarkan lokasi strategik buat anda yang ingin penginapan atas urusan perniagaan atau percutian.

Hotel perniagaan baru ini mudah diakses buat mereka yang ada urusan di Taman Perindustrian Selayang atau ingin mengunjungi lokasi pelancongan popular iaitu Batu Caves dan Genting Highlands.

Diuruskan oleh Lexis Group, KIP Hotel menawarkan 199 bilik termasuk 12 bilik eksekutif dan tiga bilik suite dengan rekaan moden, bergaya dan selesa.

Semua bilik dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk skrin televisyen LED dengan saluran satelit dan WiFi percuma.

Pengarah KIP Group Valerie Ong berkata, pihaknya menjangka pembukaan hotel elegan ini menjadi tarikan kepada pelancong korporat.

“Kedudukan KIP Hotel berhampiran lokasi perniagaan dan pejabat kerajaan memudahkan tetamu melakukan sebarang urusan rasmi,” katanya.

Apa yang berlainan mengenai bilik ditawarkan KIP Hotel ialah pemilihan Seni Tiub Keluli 3D yang menceriakan ruangan kepala katil bagi menggantikan lukisan seperti di hotel lain.

Menariknya, setiap tingkat hotel juga ada warna tema tersendiri, antaranya jingga, kuning, ungu lembayung, magenta, hijau, merah dan firus.

Untuk menjamu selera dan berhibur, tetamu tidak perlu memandu kerana Aroma menyediakan pelbagai hidangan istimewa buat anda.

Inginkan sesuatu yang lebih santai, Aqua by The Pool menawarkan ketenangan pemandangan dan kolam renang infiniti sambil menikmati keenakan jus segar.

AtSix pula tempat sempurna untuk bertemu, berbual dan berehat manakala ATOP seperti namanya memberikan anda panorama bandar yang mempesona dari bar terbuka dengan alunan muzik mengasyikkan.

Bagi peminat kopi dan jus, All Coffee All Juices (ACAL) kafe terbuka dengan sentuhan artistik desa menampilkan 20 jenis kopi yang disertakan pilihan pencuci mulut dan pastri enak.

KIP Hotel juga menyediakan empat jenis bilik iaitu Arial, Baron, Carme dan Dosis bagi yang ingin menganjurkan seminar, mesyuarat atau majlis makan malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 9:51 AM