BILIK dengan lukisan Super Mario antara yang menggamit hati kanak-kanak.
BILIK dengan lukisan Super Mario antara yang menggamit hati kanak-kanak.
ART Family Deluxe tawar keselesaan buat seisi keluarga.
ART Family Deluxe tawar keselesaan buat seisi keluarga.
ART Suite tawar kemewahan dengan harga berpatutan.
ART Suite tawar kemewahan dengan harga berpatutan.
Suliati Asri


Mengetengahkan konsep hotel butik yang penuh dengan elemen seni, Hotel De Art I-City tawarkan penginapan yang cukup mengujakan.

Tema ‘Fantasy Wonderland’ atau ‘Keajaiban Dunia Fantasi’ yang ditonjolkan sememangnya sudah boleh dilihat di lobi sekali gus membuatkan pengunjung terutama si kecil teruja melihatnya.

Sudah menjadi ‘trademark’ Hotel De Art yang menampilkan corak bilik yang berbeza-beza, Hotel De Art I-City ini juga tidak terkecuali.

Namun, berbeza dengan konsep sebelumnya, setiap bilik di sini dilukis oleh pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Selangor (UNISEL). Setiap tingkat diberi nama mengikut jurusan pelajar berkenaan.

Antaranya tingkat satu yang dipelopori barisan pelajar jurusan Fine Art UiTM Shah Alam, manakala tingkat dua pula dihiasi dengan deretan lukisan hasil karya pelajar jurusan Grafik di Unisel Shah Alam.

Menawarkan 35 bilik secara keseluruhan, setiap bilik dilengkapi kemudahan asas seperti televisyen berskrin rata, pendingin hawa, bilik air yang lengkap dengan kemudahan tab mandi, rangkaian TV satelit, Wifi dan kemudahan membuat kopi dan teh.

Dengan harga serendah RM108 hingga RM298 semalam, Hotel De Art I-City menawarkan beberapa kategori bilik sebagai pilihan buat pengunjung antaranya Art Queen, Art Twin, Art Queen Deluxe, Art Twin Deluxe, Art King Deluxe dan Art Family.

Art Soho, Art Studio dan Art Suite adalah antara kategori bilik tambahan yang cuma terdapat di Hotel De Art I-City sahaja.

Bilik bagi kategori Art Soho dan Art Studio terletak di tingkat bawah di mana setiap bilik dilakar pelukis mural profesional.

Konsep ‘naik tangga’ di mana ruang tamu terletak di bawah manakala kamar beradu di tingkat atas amat sesuai bagi pengunjung yang mencari kelainan.

Sama ada menginap bersama keluarga mahupun teman, setiap bilik mampu memuatkan dua hingga empat orang. Lebih bercirikan keluarga dan persahabatan, setiap bilik diadaptasi mengikut tema yang berbeza.

Antaranya bilik Super Mario, filem animasi kanak-kanak yang bertajuk Up, filem animasi Jepun iaitu One Piece, The Hobbit dan Under The Sea.

Menariknya, setiap pelanggan diberi peluang untuk memilih sendiri tema yang berkenan di hati. Setiap gambar bilik boleh dilihat menerusi laman web Hotel De Art.

Sebuah iPad yang menyediakan pilihan gambar bilik juga diletakkan di ruang pendaftaran bagi memudahkan pelanggan yang datang secara walk-in untuk melihat sendiri gambaran sebenar bilik yang ditawarkan Hotel De Art I-City ini.

Pemilihan perabot yang digunakan pula lebih berciri moden dan cukup ringkas. Sesekali konsep perindustrian digunakan dalam penataan ruang hiasan bilik. Lakaran dinding yang dijadikan titik tumpu seakan bersatu dalam ruang kamar beradu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 12:02 AM