Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Aksi terburuk dalam karier ketika di Siri Super Terbuka Jepun dan Korea Selatan 2015 baru-baru ini langsung tidak melemahkan semangat Datuk Lee Chong Wei (gambar tiga dari kanan) walaupun mendapatkan kritikan pelbagai pihak.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, dia bermain untuk dirinya sendiri dan negara bukannya disebabkan orang lain.

“Banyak pihak melemparkan kritikan tapi saya tidak mahu memikirkan mengenainya. Saya tidak bermain untuk orang lain sebaliknya bagi diri sendiri dan negara,” katanya ketika ditemui media di majlis perkenalan pemain pasukan Kelab Badminton Petaling Jaya (Petaling Jaya BC) semalam.

Di Terbuka Jepun, Chong Wei terus dibayangi musuh tradisi Lin Dan dari China apabila tewas di pusingan kedua sebelum tersingkir awal pada perlawanan pertama kelayakan selepas tunduk kepada pemain tuan rumah, Heo Kwang Hee.

Dalam masa sama wujud pula perselisihan faham antaranya dengan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen yang memandang mudah kemahuan Chong Wei memerlukan rakan sepelatih ketika di Terbuka Jepun sebelum jurulatih perseorangan lelaki Tey Seu Bock diterbangkan ke Korea Selatan, namun sudah terlambat untuk menyelamatkan keadaan.

“Bagi saya, menang atau kalah perkara biasa, yang penting ketika ini saya membuat persiapan terbaik untuk menghadapi kejohanan seterusnya iaitu Siri Super Premier Terbuka Denmark (13 hingga 18 Oktober) dan Siri Super Terbuka Perancis (20 hingga 25 Oktober).

“Berkenaan isu dengan Frost saya tidak mahu komen panjang, selepas ini jika ada apa-apa saya bincang dengan Hendrawan (jurulatih perseorangan lelaki) dan Seu Bock. Saya anggap semuanya sudah selesai,” katanya.

Chong Wei yang menghuni ranking ke-24 ketika ini menetapkan sasaran untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dunia hujung tahun ini.

“Saya harap dapat menghasilkan keputusan yang baik di Terbuka Denmark dan Perancis untuk mengutip mata dan memperbaiki kedudukan ranking. Saya mahu berada dalam kelompok 10 terbaik dunia pada Disember ini. Jika dapat mencapainya, saya tidak perlu beraksi dalam banyak kejohanan tahun depan,” katanya.

Di kedua-dua kejohanan berkenaan, Chong Wei akan terus beraksi dalam undian utama apabila berdepan P Kashyap dari India untuk aksi pusingan pertama Terbuka Denmark dan jika melepasi halangan itu, lawannya seterusnya ialah pemain Hong Kong, Wei Nan.

Jika layak ke suku akhir, Chong Wei dijangka bertemu pemain nombor satu dunia Chen Long dari China - lawan yang menewaskannya ketika aksi final Kejohanan Dunia di Jakarta, Indonesia.

Sementara itu, Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, apa yang berlaku antara Frost dan Chong Wei sudah selesai.

“Seperti mana kita sedia maklum, apa yang berlaku di Jepun dan Korea Selatan adalah sedikit perselisihan faham, Frost sudah mengaku dia memandang mudah kemahuan Chong Wei. Saya juga sudah maklum kepadanya untuk melihat persiapan dengan teliti dan tidak membuat lagi kesilapan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 5:56 AM