Johor Bahru: “Biar saya menjadi wakil anda semua.”

Itu suara Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang bersedia menyerahkan surat rasmi daripada penyokong bola sepak negara kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada pertemuan yang akan diadakan bulan depan.

Kesudian Tunku Ismail yang juga Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) untuk menyerahkan sendiri surat rasmi berkenaan menunjukkan betapa beliau begitu telus untuk membantu penyokong menyampaikan hasrat selepas memorandum kelab penyokong sebelum ini tidak diendahkan FAM.

Kata Tunku Ismail, setiap gabungan penyokong sama ada Ultras Malaya mahupun kelab penyokong negeri dan kelab perlu menyediakan surat rasmi untuk diserahkan kepada FAM.

“Jika mereka mahu luahkan apa jua pandangan dan cadangan kepada FAM, saya sedia menyampaikan menerusi surat rasmi daripada semua kelab penyokong kerana saya akan mengadakan perjumpaan dengan pihak atasan badan induk pada bulan November ini.

“Saya mahu semua kelab penyokong bersatu dan tidak lagi berpecah-belah malah saya lihat penyokong mengutuk antara satu sama lain. Apa guna jika tidak bersatu dan sudah pasti apa yang penyokong hajati tidak kesampaian.

“Bagi saya mewakili awak semua (penyokong). Biar saya berdepan FAM untuk menyerahkan surat atau memorandum, saya ikhlas demi kemajuan bola sepak negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 5:56 AM