ARUL (tengah) mahu anak buah perbaiki permainan.
ARUL (tengah) mahu anak buah perbaiki permainan.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Rekod tiga kekalahan berturut-turut pada perlawanan pemanas badan menjelang saingan Piala Sultan Johor esok tidak mencetuskan resah kepada pengendali skuad Projek 2016 Arul Selvaraj.

Terbaru pada perlawanan pemanas badan ketiga semalam, skuad negara tewas 2-3 kepada Britain di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

Keputusan itu meneruskan rekod kekalahan dua aksi pemanas badan bersama skuad senior negara sebelum ini, 1-3 serta 2-3.

“Bagi saya, beberapa kelemahan perlu diatasi segera, terutamanya membabitkan kelekaan pada empat hingga lima minit terakhir perlawanan.

“Yang lain, saya tidak berasa risau sebab kami mempunyai barisan pemain terbaik pada semua posisi terutama bahagian tengah.

“Apapun, tahap keyakinan pemain sangat tinggi dan saya yakin mereka mampu laksanakan tugas dengan baik pada perlawanan sebenar nanti,” katanya.

Bagaimanapun Arul mengakui perlu menukar beberapa strategi selepas kehilangan dua tonggak utama iaitu penyerang Muhd Sufi Ismat Rohulamin serta pemain tengah Rafizul Ezry Mustafa berikutan masalah kecederaan hamstring.

Enam negara termasuk Malaysia akan beraksi pada satu-satunya kejohanan jemputan untuk skuad bawah 21 tahun itu bermula esok.

Selain Malaysia, lima lagi pasukan yang bertanding adalah Argentina, Australia, Britain, Pakistan serta juara bertahan, India.

Anak buah Arul akan bertemu Britain pada perlawanan pembukaan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2015 @ 5:12 AM