GIRLFRIEND KONTRAK
GIRLFRIEND KONTRAK
LOVE, SUPERMOON
LOVE, SUPERMOON
REMBAT
REMBAT
BARISAN pelakon yang hadir pada majlis pelancaran filem GB 2015 dan sambutan Aidilfitri.
BARISAN pelakon yang hadir pada majlis pelancaran filem GB 2015 dan sambutan Aidilfitri.
Oleh Ramlah Zainal


Grand Brilliance (GB) mempertaruhkan tiga filem hebat iaitu Girlfriend Kontrak, Rembat dan Love, Supermoon yang bakal menjengah pawagam seluruh negara hujung tahun ini.

Penerbit Eksekutif GB, Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata, pihaknya yakin tiga karya berkenaan memiliki kekuatan dan keistimewaan tersendiri untuk menarik penonton ke panggung.

“Filem pertama yang akan menjengah pawagam ialah Girlfriend Kontrak yang mendapat sentuhan pengarah kelahiran Australia, Virginia Kennedy.

“Ada yang bertanya kenapa kami mengambil sutradara luar sedangkan ramai pengarah tempatan berbakat besar. Sebenarnya, pihak kami beri peluang kepada ramai pengarah muda termasuk dari luar negara untuk memberikan kelainan pada filem terbitan GB.

“Pihak kami mengambil Virginia mengarahkan naskhah ini kerana dia penyumbang idea asal. Ia sebuah karya istimewa yang memaparkan jalan cerita menarik serta diperindahkan lagi dengan sinematografi penuh seni,” katanya.

Katanya lagi, lebih menarik filem itu menggandingkan pelakon Keith Foo dan pendatang baru, Nur Risteena yang turut dibantu Bront Palarae dan penyampai radio popular Hot FM, Fara Fauzana.

“Saya yakin ramai menantikan kemunculan Fara dalam filem ini. Saya juga meminta kebenaran Fara untuk mempromosikan filem ini kerana ketika penggambaran dia belum berhijab.

“Filem ini menceritakan gadis kampung, Alisa lakonan Nur Risteena yang nekad menyelamatkan kelip-kelip kesayangannya daripada dimusnahkan sebuah syarikat gergasi milik jutawan, Umar (Keith Foo).

“Saya harap peminat tidak akan melepaskan peluang menonton filem ini yang akan ditayangkan di pawagam bermula 24 September nanti,” katanya.

Tengku Iesta berkata, filem genre pengembaraan aksi komedi, Rembat pula menampilkan sentuhan ­sutradara muda Shamyl Othman.

“Filem terbitan bersama GB, Red Films dan Marna Films ini menggandingkan aktor popular Shaheizy Sam dan pelakon keturunan Cina yang turut menempa nama di Taiwan, Aniu. Ia dimantapkan lagi dengan penampilan Zara Zya dan Zizan Razak.

“Filem yang akan menjengah pawagam tanah air pada 8 Oktober ini memaparkan kisah dua sahabat yang sanggup melakukan apa saja demi mendapatkan wang untuk memenuhi impian masing-masing,” katanya.

Manakala filem genre komedi romantik Love, Supermoon (‘working title’ Pengapit) pula mendapat sentuhan pengarah Wan Hasliza Wan Zainuddin.

“Filem ini diterajui Farid Kamil dan Nadiya Nisaa. Selain itu, ia turut dijayakan Rita Rudaini,Anne Ngasri, Zain Saidin dan Azhar Sulaiman.

“Ia menceritakan kisah cinta luar biasa Razak (lakonan Farid) dan Triz (Nadiya) yang bertemu kali pertama ketika zaman persekolahan. Apabila meningkat dewasa Razak dan Triz bertemu semula semula pada majlis perkahwinan dan parti hari jadi anjuran rakan mereka.

“Mereka hanya mengetahui perkembangan hidup antara satu sama lain menerusi gosip disampaikan rakan, tetapi berlagak seakan-akan tidak mengenali antara satu sama lain. Filem ini akan ditayangkan di pawagam tanah air pada 22 Oktober nanti,” kata Tengku Insta ketika ditemui pada majlis pelancaran filem GB 2015 dan sambutan Aidilfitri yang berlangsung di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disemarakkan dengan kehadiran barisan selebriti popular tempatan antaranya Shaheizy Sam, Farid Kamil, Nur Risteena, Fara Fauzana, Yuka Kharisma dan Aisya Hasnaa.

Enam filem menyusul tahun depan

Walaupun pasaran filem suram dan kutipan di pawagam tidak memberangsangkan, GB tidak patah semangat menghasilkan filem berkualiti dalam usaha mengangkat industri perfileman tanah air ke tahap lebih baik.

Menurutnya, GB memiliki strategi tersendiri dalam memastikan filem dihasilkan mendapat kutipan pecah panggung dan tidak menanggung kerugian.

“Sebagai penerbit filem, pastinya kami ada perancangan jangka panjang. Selepas habis tayangan di pawagam, kita ada ‘platform’ lain bagi memastikan karya terbitan GB memberikan pulangan.

“Apa yang penting, kami sentiasa menjaga piawaian dan kualiti setiap filem yang dihasilkan. Kami sangat teliti dalam pemilihan skrip dan ia membabitkan lapan draf serta tayangan tertutup lebih 10 kali sebelum menjengah ke pawagam.

“Pihak kami juga menolak bekerjasama dengan pelakon bermasalah kerana tidak mahu ia menjejaskan kerja penggambaran. Setakat ini, pihak kami tidak ada masalah dengan pelakon cuma ketika promosi filem ramai yang tidak dapat beri komitmen kerana terikat dengan penggambaran lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kata Tengku Iesta, ada enam lagi filem terbitan GB yang menanti tarikh tayangan pada tahun depan iaitu Showdown The Movie, Andai itu Takdirnya, Pekak, Lebuhraya Ke Neraka, Tujuh dan Rock Bro.

“Beberapa lagi projek yang masih dalam proses pembikinan adalah Pulang arahan Mira Mustaffa, Puteri Saadong (Osman Ali) dan filem Mandarin Devil in The Flash,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 11:14 AM