PUAN Sri Chan Choy May, 58, melihat wajah mendiang suaminya, Tan Sri Yuen Yuet Leng. FOTO Saddam Yusoff
PUAN Sri Chan Choy May, 58, melihat wajah mendiang suaminya, Tan Sri Yuen Yuet Leng. FOTO Saddam Yusoff
Oleh Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan upacara pengebumian rasmi kepada bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak, Tan Sri Yuen Yuet Leng sebagai memberi penghormatan terakhir kepada wira negara itu esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, segala persediaan untuk upacara itu yang akan diadakan di Nilai Memorial Park sedang giat dilakukan oleh pasukan polis.

Menurutnya, pemergian Tan Sri Yuen adalah satu kehilangan besar kepada pasukan polis dan negara atas sumbangannya dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara.

"Saya mewakili seluruh pasukan polis berharap ahli keluarga Tan Sri Yuen bersabar dan pemergian mendiang amatlah dirasai.

"Mendiang selalu menghubungi saya secara peribadi untuk memberi nasihat khususnya berkenaan keselamatan dan keharmonian antara kaum.

"Saya sendiri juga kerap berjumpa beliau dan sering melawatnya di rumahnya untuk mendapatkan nasihat daripada mendiang. Sudah pasti saya akan merasai kehilangannya,"katanya ketika ditemui .

Menurutnya, beliau banyak berkorban untuk keselamatan negara, sumbangannya terhadap negara sangat besar dan beliau adalah seorang yang perlu dikenang sepanjang masa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 7:16 PM