TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO arkib NSTP
TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO arkib NSTP
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Kerajaan Malaysia menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban ketika sedang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi tadi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau berdukacita apabila mendapat khabar mendiang Baharuddin daripada Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) terkorban akibat terkena tembakan ketika penugasan dalam Op Benteng.

Beliau juga bersedih apabila turut dikhabarkan bahawa seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan Tari yang bertugas bersama mendiang Baharuddin cedera terkena tembakan di bahagian perut.

"Mendiang dan Norihan adalah petugas barisan hadapan yang bertugas mengawal sempadan negara daripada dicerobohi khususnya ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

"Pemergian Koperal Baharuddin merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya berharap ahli keluarga mendiang dapat bersabar dengan ujian ini dan berdoa agar Koperal Norihan cepat sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan amat menghargai jasa dan pengorbanan mendiang dan Norihan serta semua petugas barisan hadapan negara yang berkhidmat dengan penuh semangat dan dedikasi.

"Saya mendoakan agar anda semua sentiasa berada dalam keadaan selamat dan dilindungi Allah SWT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 6:01 PM