Upacara pengebumian rasmi penuh adat istiadat untuk Tan Sri Yuen Yuet Leng. FOTORaja Noraina Raja Rahim
Upacara pengebumian rasmi penuh adat istiadat untuk Tan Sri Yuen Yuet Leng. FOTORaja Noraina Raja Rahim
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Nilai: Upacara pengebumian rasmi mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng dihadiri lebih 100 ahli keluarga, orang kenamaan dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Taman Peringatan Xiao En, di sini, sebentar tadi.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Ke-7, Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang antara yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Yuen yang juga bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak itu.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah dan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Jaafar Mohd Yusof.

Upacara pengebumian itu bermula pada 12.15 tengah hari selepas jasad mendiang dibawa dari Pusat Xiao En di Cheras.

Pengebumian penuh istiadat oleh PDRM itu adalah sebagai menghargai jasa dan sumbangan mendiang dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara.

Yuen meninggal dunia pada usia 88 tahun akibat kegagalan jantung di kediaman anaknya di The Mines, Seri Kembangan, Selangor, kira-kira 6 pagi kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 2:05 PM