LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Padang Serai, M Karupaiya, 69, meninggal dunia di Hospital Kulim di sini, hari ini, dipercayai akibat mengalami serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mendiang adalah penyandang kerusi Parlimen Padang Serai yang dimenanginya pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

"Dengan rasa penuh hiba dan dukacita, saya memaklumkan saudara M Karupaiya, mantan Ahli Parlimen Padang Serai merangkap calon PH bagi Parlimen Padang Serai meninggal dunia hari ini.

"Kali terakhir kami bertemu adalah pada 14 November lalu, di pentas ceramah di Kulim. Mendiang telah memberi ucapan ringkas dan sempat bersama menjulang tangan di akhir ucapan Pengerusi PH," katanya dalam kenyataan.

Pada PRU-15 kali ini, Karupaiya berhadapan pertembungan enam penjuru membabitkan Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk Sivaraj Chandran (Barisan Nasional), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Ananda Ak (Bebas).

Untuk rekod pada PRU-14 lalu, Karupaiya yang juga bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Pegawai Waran 1 berjaya meraih majoriti 8,813 undi.

Saifuddin berkata, jasa mendiang kepada penduduk Padang Serai dan kepada warga ATM terutama veteran akan senantiasa dikenang.

"Mewakili seluruh keluarga besar PKR dan PH, saya merakamkan ucapan takziah buat keluarga mendiang. Pemergian mendiang satu kehilangan besar kepada parti dan perjuangan.

"Mendiang meninggal dunia dalam perjuangan menegakkan keadilan demi Malaysia yang lebih baik. Semangat ini akan diteruskan pejuang PKR dan PH pada PRU-15," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, mendiang meninggal dunia di Hospital Kulim pada jam 2.27 petang tadi.

Difahamkan, mendiang dimasukkan ke Hospital Kulim pada Isnin lalu, dan keadaannya dilaporkan tidak berapa baik sejak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 4:16 PM