Oleh Aziman Rosdi


Petaling Jaya: Ketika spekulasi mengenai tugas membimbing Harimau Malaya bakal diserahkan kepada jurulatih asing kuat diperkatakan, pengendali sementara Datuk Ong Kim Swee (gambar kiri) tetap fokus berdepan dengan situasi itu.

Jelas pengendali berusia 44 tahun itu, mana-mana jurulatih di dunia pasti tidak selesa menjalankan tugas ketika kedudukannya untuk terus bersama pasukan, tidak menentu.

Begitupun, pada masa sama beliau berharap supaya diberikan ruang mempersiapkan pasukan untuk mengharungi baki kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 bulan depan.

“Saya memang tidak mahu perkara seperti ini mengganggu fokus membimbing pasukan. Memang saya akui situasi ini kurang menyenangkan, terutama apabila FAM mahu mencari jurulatih lain ketika saya masih membimbing pasukan biarpun berstatus sementara.

“Tapi saya harus melaksanakan tugas diberikan dengan sebaik-baiknya. Saya kena kekal positif kerana sekurang-kurangnya masih mempunyai peluang untuk membuktikan kemampuan melalui kedua-dua perlawanan itu,” kata Kim Swee.

Dalam laporan Arena Metro sebelum ini, beberapa calon jurulatih asing sudah mengemukakan permohonan termasuk bekas pemain skuad juara Piala Dunia 1998 Perancis Marcel Desailly, bekas pengendali Kelantan George Boateng, bekas pengendali Johor Darul Ta'zim Bojan Hodak, dan bekas pengendali kelab India Bengaluru FC Ashley Westwood.

Bagaimanapun kecenderungan badan induk itu untuk memilih jurulatih asing tidak disenangi beberapa pihak termasuk Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) B Sathianathan dan bekas pemain kebangsaan Khalid Ali yang menganggap pengambilan jurulatih asing dengan reputasi hebat belum menjamin kejayaan Harimau Malaya.

Kim Swee yang masih mempunyai kontrak sebagai jurulatih Harimau Muda A sehingga hujung tahun ini menyerahkan kepada FAM untuk membuat pilihan namun apa yang beliau harapkan agar pengganti tetap Dollah dapat diketahui lebih cepat.

“Apa saja keputusan saya serahkan kepada FAM, cuma berharap pemilihan itu tidak mengambil tempoh lama,” katanya.

Di bawah kendalian Kim Swee, skuad kebangsaan seri dua kali dengan Filipina pada aksi persahabatan (2014), menewaskan Yaman 2-1 pada kelayakan Piala Asia 2015 serta tewas 1-2 pada aksi tertangguh menentang Arab Saudi pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019 di Shah Alam 8 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:11 AM