Johari (tengah) menyampaikan anugerah Ikon Usahawan BCPLC kepada Samsul (kanan).
Johari (tengah) menyampaikan anugerah Ikon Usahawan BCPLC kepada Samsul (kanan).

Kuala Lumpur: Bilangan Syarikat Tersenarai Awam yang Dikuasai Bumiputera (BCPLC) mencatatkan peningkatan 31 peratus sejak empat tahun lalu meskipun jumlah syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia mengalami penurunan 2.3 peratus dalam tempoh sama.

Menurut Laporan Buku Ikon Syarikat Berkaitan Swasta (PLC) Bumiputera 2014-2015, sebanyak 33 syarikat dinyah senarai di Bursa Malaysia sejak 2011, namun jumlah BCPLC dilihat meningkat kepada 31 syarikat.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkata, pencapaian itu jelas membuktikan bahawa program memperkasa ekuiti Bumiputera di pasaran modal negara berjaya dengan baiknya.

“Kerajaan sentiasa menjaga kepentingan Bumiputera di pasaran modal negara kerana jika tidak dipelihara, ia dikuasai pelabur asing dan bertukar pemilikan kepada bukan Bumiputera,” katanya pada pelancaran Buku Ikon PLC Bumiputera 2014-2015 di sini, semalam.

Penerbitan buku itu hasil usaha Koperasi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Kuala Lumpur Berhad (KOMITMEN) dan disokong pakar pasaran modal daripada Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (PRIBUMI) serta Koperasi Remisier Bumiputera Berhad (KRBB) dan Persatuan Penganalisis Teknikal Malaysia (MATA).

Laporan buku itu memberikan data empirikal dan analisis strategik mengenai kekuatan serta kelemahan Bumiputera dalam pasaran modal secara telus bertujuan menganalisis status dan kedudukan ekuiti Bumiputera di pasaran saham negara secara keseluruhan.

Beliau berkata, laporan itu menunjukkan BCPLC adalah sebanyak 132 atau 14.4 peratus daripada 919 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dan menguasai 17.4 peratus modal pasaran terbabit.

Antara syarikat dikategorikan di bawah ‘The Bilionnaire Club’ adalah Malayan Banking Berhad yang memiliki modal pasaran RM87 bilion, Sime Darby Berhad (RM52 bilion) dan Sapura Kencana Petroleum Berhad (RM14 bilion).

Timbalan Pengerusi Eksekutif Dagang NeXchange Berhad (DNeX), Datuk Samsul Husin dan Ketua Pegawai Eksekutif Prestariang Berhad, Abu Hasan Ismail dianugerahkan sebagai Ikon Usahawan BCPCL 2014-2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:05 AM