Putrajaya: Kerajaan semalam mengumumkan rangka kerja baru bagi program Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) yang menekankan usaha membina kapasiti dengan matlamat meningkatkan modal pasaran syarikat milik Bumiputera di Bursa Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, SJJB akan dikendalikan secara bersama antara Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS).

Menurutnya, ia bukan setakat menyediakan bantuan kontrak kerajaan peringkat akhir, tetapi turut memberi khidmat nasihat sokongan menyeluruh bagi syarikat Bumiputera yang berpotensi disenaraikan.

“Selain itu, SJJB juga memberi bantuan kepada syarikat tersenarai Bumiputera bersaiz kecil dan sederhana untuk memajukannya lagi.

“Malah, SJJB berusaha meningkatkan modal pasaran keseluruhan syarikat senaraian awam (PLC) yang dikawal Bumiputera antara RM7 bilion hingga RM10 bilion menjelang 2016,” katanya berucap pada pelancaran prospektus Carimin Petroleum Berhad yang baru diterima sebagai syarikat SJJB, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:10 AM