Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Kerajaan hari ini mengumumkan rangka kerja baru bagi program Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) yang menekankan usaha membina kapasiti dengan matlamat meningkatkan modal pasaran syarikat kawalan Bumiputera di Bursa Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, program baru SJJB akan dikendalikan secara bersama oleh Teraju dan Ekuinas serta bukan setakat menyediakan bantuan kontrak kerajaan peringkat akhir tetapi juga memberikan khidmat nasihat sokongan menyeluruh bagi syarikat Bumiputera yang berpotensi disenaraikan.

"SJJB juga akan memberi bantuan kepada syarikat tersenarai Bumiputera bersaiz kecil dan sederhana untuk memajukannya lagi menjadi syarikat peneraju pasaran pada masa depan.

"Selain itu, SJJB berusaha meningkatkan modal pasaran keseluruhan syarikat awam tersenarai yang dikawal Bumiputera dengan sasaran meningkatkan nilai modal pasaran untuk mencapai antara RM7.0 hingga RM10.0 bilion menjelang 2016," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran prospektus Carimin Petroleum Berhad yang baru saja diterima sebagai syarikat SJJB di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 4:07 PM