KWSP.
KWSP.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah dana pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah sebanyak RM1.1 trilion sehingga 31 Ogos, 2023, kata Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim.

Katanya, daripada jumlah itu, purata pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah 64.9 peratus yang mana 24.4 peratus dalam ekuiti tersenarai domestik.

Selain KWSP, dana-dana pelaburan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) juga merangkumi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

"Bagi tempoh 2019 sehingga 31 Ogos, 2023, jumlah dana pelaburan PNB adalah RM332 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 84.3 peratus, yang mana 74.4 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.

"Manakala bagi dana pelaburan KWAP pula, bagi tempoh itu, ia berjumlah RM167 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 79.3 peratus yang mana 45.2 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.

"Bagi dana pelaburan LTH, sehingga 31 Ogos, 2023, ia berjumlah RM91 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 90.1 peratus yang mana 18.3 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.

"Sehingga 31 Ogos, 2023, jumlah dana pelaburan LTAT adalah RM10.5 bilion dengan keseluruhan dana dilaburkan dalam pasaran domestik yang mana 52 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin mengetahui tentang jumlah pelaburan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan GLIC di Malaysia dan di luar negara dan adakah keseluruhan pelaburan itu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menguatkan pasaran ekuiti Malaysia.

Sim berkata, sepanjang tempoh 2019 hingga 31 Ogos, 2023, sebahagian besar atau lebih 60 peratus dana pelaburan GLIC adalah dalam pasaran domestik.

Berdasarkan peruntukan aset strategik, secara purata antara 15.8 peratus hingga 62.7 peratus dana pelaburan GLIC adalah dalam ekuiti tersenarai domestik di Bursa Malaysia.

Selain itu, beliau berkata, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) pula selaku pengurus dana kekayaan negara membuat pelaburan domestik sebanyak RM9.2 bilion dalam tempoh 2019 sehingga 2022 dan ia bersamaan 32.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang bernilai RM28.3 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 3:01 PM