Putrajaya: Program Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) menyasarkan untuk meningkatkan keseluruhan permodalan pasaran syarikat senaraian awam (PLC) yang dikuasai Bumiputera kepada antara RM7 bilion hingga RM10 bilion menjelang 2016.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, SJJB baru yang dilaksanakan secara bersama oleh TERAJU dan EKUINAS akan beralih daripada hanya menyediakan bantuan kontrak kerajaan peringkat terakhir kepada khidmat nasihat yang lebih menyeluruh untuk syarikat Bumiputera yang berpotensi untuk penyenaraian.

“Ia juga akan menyediakan bantuan kepada syarikat Bumiputera kecil dan sederhana sedia ada yang tersenarai untuk terus membangunkan mereka menjadi syarikat utama pasaran yang lebih besar pada masa depan,” katanya pada pelancaran prospektus IPO Carimin Petroleum Bhd (Carimin), di sini, semalam.

SJJB dilancarkan pada 2007 bagi menyediakan bantuan kontrak peringkat terakhir dan pemudahan dengan pihak berkuasa kawal selia kepada syarikat Bumiputera yang layak. Sehingga kini, ia sudah memudahkan kejayaan penyenaraian lapan syarikat dengan jumlah permodalan pasaran sebanyak RM5.1 bilion.

“Tumpuan kini pada pembangunan kapasiti dengan membangun dan mengukuhkan perniagaan yang mapan melalui pertumbuhan organik dan bukan organik, mengenal pasti akses bagi pembiayaan serta meningkatkan tadbir urus dan operasi sokongan untuk memastikan syarikat disiap sedia untuk penyenaraian dan pengembangan seterusnya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, SJJB akan bekerjasama dengan syarikat Bumiputera untuk membangunkan dan melaksanakan pelan IPO untuk memastikan kejayaan penyenaraian.

“Di bawah SJJB baru, TERAJU akan bertanggungjawab bagi pemasaran dan menghadapi pasaran dengan syarikat yang berpotensi, pelaksanaan, pemantauan dan pengesanan.

“Pada masa sama, EKUINAS akan bertanggungjawab dalam memilih syarikat dan menyediakan khidmat nasihat yang menyeluruh serta membangunkan pelan pewujudan nilai dan pelan penyenaraian untuk syarikat,” katanya.

Setakat ini, dua syarikat, Dynac Sdn Bhd dan Carimin diterima di bawah program SJJB yang baru. Selain Carimin, sebuah lagi syarikat SJJB, E A Technique Bhd turut dijangka disenaraikan di Bursa Malaysia pada akhir tahun. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:08 AM