Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Pelaburan Pembotolan Coca -Cola Singapura, Malaysia dan Brunei, Stepen Lusk bersama Imad (tengah).
Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Pelaburan Pembotolan Coca -Cola Singapura, Malaysia dan Brunei, Stepen Lusk bersama Imad (tengah).

Nilai: Syarikat pengeluaran minuman berkarbonat Coca-Cola melabur AS$20 juta (RM84.6 juta) bagi membuka kilang keempatnya di Palestin pertengahan Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stephen James Lusk berkata, pembukaan itu bagi mempertingkatkan kapasiti pengeluaran produknya bagi pasaran domestik di negara terbabit.

Beliau berkata, sebanyak tiga fasa pembinaan iaitu pengeluaran produk botol kaca, mengedarkan air bersih untuk diderma kepada pihak hospital manakala fasa ketiga membabitkan pengeluaran air tin dan berbotol plastik berperisa.

“Semua fasa ini selesai pada Januari 2017. Dengan ini syarikat yang akan beroperasi di Gaza, Palestin itu memberi peluang pekerjaan pada penduduk setempat serta meningkatkan ekonomi negara terbabit.

“Di Palestin, syarikat ini dikendalikan National Beverage Company (NBC) iaitu sekumpulan ahli perniagaan dari Kawasan Pentadbiran Palestin.

“Kini kilang pembotolan ini beroperasi di Ramallah, Jericho dan Tulkarem membabitkan pekerja lebih 300 orang,” katanya selepas lawatan kakitangan NBC di kilang pembotolan Coca-Cola Bottlers Malaysia Sdn Bhd (CCBM) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar NBC Imad Hindi dan Pengurus Besar Syarikat Cola-cola Singapura, Malaysia dan Brunai, Gill Mclaren.

James berkata, tujuan lawatan NBC disebabkan kilang di Palestin dan Nilai mempunyai persamaan daripada segi budaya dan portfolio kerja iaitu mengutamakan sumbangan serta komitmen terhadap komuniti tempatan masing-masing.

“Kilang ini dilengkapi ciri-ciri hijau seperti sistem tadahan air hujan, sistem pencahayaan automatik, penapisan udara dengan ion dan motor penghantar jimat tenaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 6:41 AM