Hanis Aliaa Hidzir

Coca-Cola Malaysia menetapkan penanda aras baharu dalam pengurangan sisa plastik dengan melancarkan botol Coca-Cola® Rasa Asli,Coca-Cola® Tanpa Kalori dan Coca-Cola® Vanilla  500ml yang diperbuat sepenuhnya daripada plastik kitar semula (tidak termasuk penutup dan label).

Langkah ini menunjukkan komitmen syarikat dalam membina ekonomi kitaran di Malaysia dan sejajar dengan matlamat globalnya untuk menggunakan sekurang-kurangnya 50 peratus kandungan kitar semula dalam pembungkusan menjelang 2030.

Pengarah Kelestarian & Perkongsian, ASEAN & Pasifik Selatan, Syarikat Coca-Cola, Kirsten van Zandwijk berkata mereka menyedari betapa mendesak dan rumit cabaran sisa plastik di Malaysia dan perlunya usaha bagi menangani isu ini.

"Selaras dengan komitmen membina ekonomi kitaran di negara ini, kami memperkenalkan reka bentuk pembungkusan inovatif botol plastik 100 peratus kitar semula baharu kami.

"Ia selari dengan falsafah jenama kami 'Dari Botol Jadi Botol' yang menekankan bahawa setiap botol mempunyai 'hayat kedua'."

Setakat ini, Coca-Cola menawarkan sekurang-kurangnya satu jenama yang diperbuat daripada botol plastik 100 peratus kitar semula di lebih 40 negara termasuk Indonesia, Myanmar, Vietnam, Thailand, Singapura, dan kini di Malaysia.

Botol plastik 100 peratus kitar semula ini bukan saja mematuhi piawaian ketat global Syarikat Coca-Cola untuk pembungkusan gred makanan malah ia juga memperoleh pengiktirafan Halal daripada Badan Pemeriksa Halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Selain itu, Coca-Cola juga memacu inovasi dalam pembungkusan serta mengembangkan kapasiti pengumpulan dan kitar semula di Malaysia dengan kerjasama unit pembotolannya, Coca-Cola Bottlers (Malaysia) Sdn Bhd.

Botol plastik 100 peratus kitar semula menjalani pemprosesan dan pembuatan secara tempatan di kilang pembotolan Coca-Cola di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, sekali gus menonjolkan kebanggaannya sebagai sebuah entiti Malaysia.

Pengarah Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kelestarian Malaysia Singapura Brunei, Coca-Cola Bottlers Malaysia Sdn Bhd, Khairul Anwar Ab Gahani berkata, matlamat syarikat adalah untuk terus menggunakan bahan kitar semula, dan melakukan sumbangan ketara ke arah objektif alam sekitar Malaysia.

"Dengan melibatkan diri secara aktif dalam amalan mampan dan membudayakan ekonomi kitaran, kami berusaha memberi sumbangan yang berterusan ke arah masa depan yang lebih mampan."

Terdahulu, Coca-Cola Malaysia turut membawa kembali kempen 'Recycle Me!' untuk tahun kedua bagi meningkatkan kesedaran serta memacu tindakan berhubung pengasingan dan kitar semula plastik. 

Image

Inisiatif yang dilancarkan dengan kerjasama AEON Malaysia, Hiroyuki Industries dan Trash4Cash menggalakkan pengguna mengumpul botol PET bagi menebus ganjaran tunai berdasarkan kuantiti sumbangan mereka.

Bagi setiap 10 botol yang disumbangkan, peserta akan layak menebus insentif beli balik Trash4Cash sebanyak RM0.10 serta barangan Coca-Cola.

Lebih menarik, pengguna kini boleh mengimbas kod QR pada 'Smart Recycle Bin' untuk memberikan butiran mereka sekali gus menjamin pengalaman yang mudah, lancar dan cekap.

Tahun ini, Coca-Cola Malaysia dan rakan-rakan kongsinya memperluaskan usaha mereka ke 15 cawangan AEON di lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Semua botol yang dikumpul kemudiannya akan dibawa ke syarikat kitar semula, Hiroyuki Industries, untuk diproses menjadi botol-botol baharu pada peringkat seterusnya.

Berikut senarai AEON Mall yang mengambil bahagian dalam kempen 'Recycle Me!':

  • AEON Taman Maluri
  • AEON Alpha Angle
  • AEON Ampang Utara 2
  • AEON Metro Prima
  • AEON Bukit Tinggi
  • AEON Bandar Baru Klang
  • AEON Taman Equine
  • AEON Rawang
  • AEON Shah Alam
  • AEON Seremban 2
  • AEON Nilai
  • AEON Bandaraya Melaka
  • AEON Permas Jaya
  • AEON Tebrau City
  • AEON Bukit Indah

Untuk maklumat lanjut tentang inisiatif kemampanan dan pengumuman terkini Coca-Cola Malaysia, layari Facebook, Instagram, atau laman sesawang rasmi Coca-Cola Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 5:02 PM