KUCHING: Polis Marin Sibu menggagalkan satu penyeludupan minuman keras dan rokok pelbagai jenama di Jalan Mantis, Ulu Lanang, Sibu kira-kira pukul 1.50 tengah hari semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Lima ACP Kalai Chelvan Nadarajan berkata dalam serbuan itu pihaknya menahan seorang pemandu lori dan merampas rokok dan minuman keras bernilai RM67,660 serta lori yang digunakan bernilai RM70,000.

Beliau berkata kesemua barang dirampas dan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Bahagian Sibu untuk tindakan lanjut.

“Tangkapan dan rampasan barangan seludup itu adalah hasil daripada maklumat orang awam,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Kalai berkata kes itu disiasat mengikut Akta Kastam 1967. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 10:10 PM