ANTARA rokok dan minuman keras yang dirampas dalam operasi serentak yang dijalankan Polis Marin Wilayah 5 di Sarikei, Sibu dan Miri. FOTO MELVIN JONI
ANTARA rokok dan minuman keras yang dirampas dalam operasi serentak yang dijalankan Polis Marin Wilayah 5 di Sarikei, Sibu dan Miri. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


SEJUMLAH 56,780 batang rokok, 125 kotak bir dan 52 botol minuman keras dirampas di Miri, Sibu dan Sarikei, semalam.

Kesemua barangan itu dirampas pada operasi serentak dijalankan Polis Marin Wilayah 5 di ketiga-tiga lokasi berkenaan kerana disyaki tidak dibayar cukai.

Komander Polis Marin Wilayah 5 Sarawak Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, tangkapan pertama dibuat ke atas seorang lelaki di parkir kenderaan UTC Sibu.

“Hasilnya, kami merampas 21,800 batang rokok dan sebuah kenderaan bernilai lebih RM87,000.

“Tangkapan kedua membabitkan seorang lelaki di Kaban Mini Mart, Jalan Kaban, Sarikei yang memiliki 28,400 batang rokok dan 65 kotak bir dianggarkan bernilai lebih RM20,000,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tangkapan ketiga membabitkan seorang lelaki di Bazar Baru Sepupok, Niah.

“Kami merampas 6,580 batang rokok, 60 kotak bir dan 52 botol minuman keras bernilai lebih RM16,000,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 sebelum kes diserah untuk siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 5:51 PM