BERSAMA isteri, Kim ketika bercuti di Santorini, Greece.
BERSAMA isteri, Kim ketika bercuti di Santorini, Greece.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Teka-teki mengenai status perkahwinan pelakon drama Ariana Rose, Keith Foo, 32, terjawab apabila dia mengesahkan sudah berkahwin dengan model Kim Raymond, 29, Disember tahun lalu.

“Saya tak ambil masa atau cuba merahsiakan perkahwinan ini sebaliknya ia lebih kepada peribadi. Saya sudah mendaftarkan perkahwinan sejak Disember tahun lalu.

“Tidak ada istilah berkahwin senyap kerana keluarga dan kawan-kawan rapat semuanya tahu kecuali pihak media. Lagipun saya rasa ia tak perlu dihebohkan,” katanya ketika dihubungi RAP, semalam.

Jelas Keith, tindakannya itu selari dengan prinsip dirinya iaitu sentiasa membezakan kerjaya dan peribadi.

Sebelum ini timbul spekulasi mengatakan majlis pertunangan Keith dan pasangannya adalah majlis perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, pelakon kelahiran Gemas, Negeri Sembilan ini menafikan perkara terbabit.

“Orang boleh bercerita apa saja sebab tu banyak cerita tak betul tersebar. Saya bertunang pertengahan tahun lalu dan ingin saya tegaskan sekali lagi, ketika itu kami belum berkahwin,” katanya.

Biarpun hampir setahun berkahwin, Keith sedikit pun tidak rasa tertekan dan mengambil sikap mengunci mulut.

“Seperti saya katakan tadi, perkahwinan saya bukannya dirahsiakan. Jadi tak perlu nak rasa tertekan atau menjadikannya satu masalah. Lagipun apa motif saya nak berbuat begitu?

“Selepas berkahwin kehidupan masih sama seperti sebelumnya. Seperti selalu banyak perkara kami lakukan bersama, tapi kini ia berbeza dari segi tanggungjawab,” katanya.

Ditanya mengenai cahaya mata, Keith berkata, mereka belum ada sebarang perancangan.

“Kalau dapat bila-bila pun, saya rasa sangat bersyukur,” katanya.

Kini, pelakon drama Dia...Isteri Luar Biasa ini berada di Eropah selepas selesai menjalani penggambaran program kendaliannya berjudul Hola Spain Bersama Keith Foo.

“Program itu menjalani penggambaran sepenuhnya di Sepanyol selama sebulan. Ia bakal disiarkan di TV1 pada November nanti.

“Kebetulan berada di sana, saya terus menyambung percutian bersama isteri ke London dan Perancis selama sebulan. Saya akan balik ke Malaysia pada 18 September ini,” katanya.

Berkenaan kerjaya seninya, Keith akan muncul menerusi filem Girlfriend Kontrak pada 24 September nanti.

Filem terbitan Grand Briliance Sdn Bhd itu menggandingkan Keith dan Risteena Munim.

Selain itu, Keith juga bakal muncul dalam drama 28 episod berjudul Keluarga Pontimau bagi tayangan TV3 pada Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 9:41 AM