NATASHA HUDSON
NATASHA HUDSON
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Kalau diamati, bahagian bahu itu sebenarnya bertutup dengan kain, cuma warnanya seperti warna kulit," kata pelakon, Natasha Hudson, 38, mengenai pakaiannya yang kelihatan seperti menampakkan bahagian bahu dan tidak sesuai dengan imejnya yang bertudung. 

Natasha atau nama sebenarnya Natasha Liana Hudson ketika ditemui di majlis pelancaran produk Crystal C White berkata, baju rekaan Rizman Ruzaini itu disediakan pihak pengasas produk. 

Selain Natasha, turut dilantik sebagai wajah dan ikon produk itu ialah pelakon Keith Foo.

"Saya tak kisah pun sebab orang takkan berhenti bercakap. Pemilihan pakaian itu berdasarkan apa yang disediakan oleh penata gaya dan pihak pengasas produk. Apabila mereka sudah sediakan tema iaitu untuk tampil glamor, saya menghormati tema itu dan tak salahkan sesiapa," katanya. 

Natasha juga menegaskan bahawa apa yang digayakannya sesuai dengan kehendak majlis. 

"Orang ramai kena matang sebelum memberikan komen. Ini adalah majlis pelancaran produk dan bukannya majlis pelancaran kedai mamak. Lagipun, saya pun bukan selalu memakai pakaian begini dan saya tak ada masalah dengannya," katanya yang juga ibu tunggal.

Natasha sebelum ini pernah berkahwin sebanyak empat kali. Perkahwinan pertama bertahan selama empat bulan, diikuti perkahwinan kedua dengan ahli politik, Datuk Shahrin Zahari juga tidak bertahan lama. 

Dia kemudian berkahwin dengan penyanyi hip hop Khalid Kamal atau Carleed Khaza yang juga bekas penyanyi kumpulan Phlowtron pada 15 April 2012. 

Hasil daripada perkahwinan kedua dan ketiganya, Natasha dikurniakan tiga anak iaitu Nessa Helena, Naeema Khaleela dan Faatimah namun mereka bercerai pada 2018.

Pada Oktober 2019, pelakon filem filem Chermin ini mengejutkan ramai apabila mengesahkan perkahwinan kali keempatnya bersama ahli perniagaan, Noor Nashriq Sekanor. Namun, ia juga berakhir dengan perceraian. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 10:26 AM