OSAMA (dua dari kiri) bersalaman bersama kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim sambil diperhatikan jurulatih kedua-dua pasukan.
OSAMA (dua dari kiri) bersalaman bersama kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim sambil diperhatikan jurulatih kedua-dua pasukan.
Oleh Aziman Rosdi


Petaling Jaya: Arab Saudi dijangka tidak akan ‘beri muka’ kepada Harimau Malaya apabila bersedia untuk memberikan aksi terbaik mereka pada pertembungan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Selepas melakar rekod bersih dengan dua kemenangan berturut-turut ke atas Palestin 3-2 dan Timor Leste 7-0 dalam kempen Kumpulan A, skuad yang diberi jolokan Green Falcons itu tidak boleh keciciran mata jika mahu memintas pendahulu Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bagi kapten Arab Saudi, Osama Hawsawi, mereka tidak boleh bersikap sambil lewa berdepan Malaysia meskipun pasukan lawan itu mencatat dua kekalahan besar berturut-turut 0-6 kepada Palestin dan 0-10 di tangan UAE sebelum ini.

“Kami menghormati pasukan lawan tidak kira mereka tewas sebelum ini. Kami datang ke sini untuk memberikan aksi terbaik dan kami akan pamerkan kemampuan sebenar di padang nanti,” katanya pada sidang media semalam.

Osama, 31, yang beraksi di posisi pertahanan tengah pernah beraksi dengan kelab Belgium, Anderlecht sebelum kembali ke tanah air dan menyarung jersi Al-Ahli.

Pemain tinggi lampai itu percaya mereka memiliki kelebihan menewaskan Malaysia apatah lagi selepas kehadiran jurulatih baru dari Belanda, Bert van Marwijk.

“Kami akan berusaha meraih mata di sini untuk terus bersaing merebut tempat ke Piala Dunia. Saya percaya kami dalam prestasi terbaik ketika ini tapi kami masih perlu berusaha keras,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:44 AM